Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang lelaki dari New Zealand memegang rekod dunia luar biasa apabila memiliki nama peribadi terpanjang di dunia, mengandungi 2,253 perkataan unik yang mengambil masa kira-kira 20 minit untuk disebut sepenuhnya.
Rekod itu disahkan oleh Guinness World Records (GWR) dan dimiliki oleh Laurence Watkins, yang kini berusia 60 tahun dan menetap di Sydney, Australia.
Watkins, yang dilahirkan dengan nama asal Laurence Gregory Watkins pada 1965, menukar namanya secara sah melalui Deed Poll pada usia 24 tahun, ketika bekerja di sebuah perpustakaan bandar di Auckland.
Beliau dilaporkan memilih nama-nama tersebut daripada kamus, buku nama bayi dan cadangan rakan sekerja, malah membayar seorang jurutaip sebanyak 400 dolar New Zealand (sekitar RM1,100) untuk menaip keseluruhan senarai namanya.
“Nama kegemaran saya ialah AZ2000 yang bermaksud saya ada nama dari A hingga Z, dan saya ada 2,000 nama,” katanya kepada GWR.
Menurut laporan, majlis perkahwinan pertamanya pada tahun 1991 turut menjadi tumpuan apabila pengacara majlis terpaksa merakam senarai panjang namanya terlebih dahulu. Rakaman itu dimainkan selama hampir 20 minit sebelum tibanya detik beliau mengucapkan “I do”.

Baca juga:
- Lelaki pegang rekod dunia nama terpanjang
- Wanita tamatkan 25 tahun perkahwinan lepas suami makan kek anniversary
- 79,000 rakyat tinggalkan Israel, tak nak hidup di negara haram
Pindaan undang-undang
Kisah luar biasa Watkins ini turut membawa kepada pindaan undang-undang di New Zealand bagi mengehadkan panjang nama seseorang, selepas pihak berkuasa mendapati sistem pendaftaran tidak direka untuk menampung nama sepanjang itu.
Watkins berkata minatnya terhadap rekod dunia bermula sejak kecil apabila sering menonton rancangan Ripley’s Believe It or Not! dan membaca buku Guinness World Records.
“Saya kagum dengan semua pemegang rekod seperti manusia terpantas, tertinggi, terkuat. Tapi sebagai orang biasa tanpa bakat luar biasa, saya fikir cara terbaik untuk masuk dalam buku rekod ialah cipta nama paling panjang di dunia,” katanya kepada CNN.
Kini sebagai bekas pengawal keselamatan bersenjata yang sudah bersara, Watkins masih memegang rekod dunia tersebut yang pertama kali diiktiraf pada tahun 1992, dan baru-baru ini disahkan semula oleh GWR selepas diklasifikasikan semula sebagai “nama peribadi terpanjang di dunia”.
Sumber: Guinness World Records, CNN









