Lelaki nekad pukul jiran sampai mati selepas bergaduh tentang najis anjing - The Reporter

Lelaki nekad pukul jiran sampai mati selepas bergaduh tentang najis anjing

Seorang lelaki di Thailand nekad menumbuk jirannya hingga mati di tepi jalan, di wilayah utara Lampang, hanya kerana perselisihan mengenai najis anjing. Suspek bagaimanapun mendakwa dia hanya bertindak untuk mempertahankan diri.

Pegawai Balai Polis Mueang Lampang dan pasukan penyelamat bergegas ke lokasi kejadian pada pukul 7.45 pagi Jumaat, 1 Disember 2023. Mayat mangsa, Chanadate Praharnkhasuek,68, ditemui tidak bernyawa di tepi jalan.

Suspek, Autsawin Wattanachot, 54, pula dilihat sedang menunggu kedatangan polis di tempat kejadian.

Autsawin kemudian memberi keterangannya kepada polis mengenai insiden tersebut dan menyatakan bahawa, sebelum itu ibunya telah membawa anjing peliharaan mereka lalu di rumah Chanadate pada waktu pagi.

Pada masa itu, mangsa telah memarahi dan melarang ibu suspek membawa anjing tersebut lalu di kediamannya kerana bimbang najis anjing yang akan mencemarkan kawasan itu.

Wanita berkenaan kemudian memaklumkan kepada anaknya. Autsawin berang dan terus berdepan dengan lelaki tua itu untuk membincangkan masalah tersebut yang berakhir dengan pertengkaran di antara mereka.

Situasi menjadi semakin tidak terkawal dan akhirnya suspek memukul mangsa menggunakan penyodok.

Dalam pengakuannya, Autsawin mendakwa mangsa telah memukul lengannya. Tidak berpuas hati diperlakukan sedemikian, Autsawin membalas pukulan itu dengan menumbuk mangsa berulang kali di muka sehingga Chanadate jatuh ke tanah.

Autsawin menegaskan bahawa tindakannya itu adalah untuk mempertahankan diri.

Ekoran kejadian itu, polis telah menahan suspek dan dibawa ke balai polis untuk disoal siasat. Polis mengesyaki suspek mungkin telah menggunakan penyodok atau senjata lain untuk membunuh mangsa.

Sementara itu, mayat mangsa telah dibawa ke hospital untuk bedah siasat bagi menentukan sama ada dia mati akibat serangan fizikal atau serangan senjata.

Sumber: Thaiger

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!