Seorang lelaki berusia 41 tahun nekad membunuh kekasihnya selepas mereka melakukan hubungan intim pada Jumaat, 14 Julai 2023.
Suspek membunuh teman wanitanya berusia 45 tahun kerana takut jika mangsa meminta dia bertanggungjawab di atas kehamilannya.
Jurucakap Polis Binjai, Firman Darwin berkata, pasangan itu berkenalan melalui Facebook pada Oktober 2022. Mereka kemudian bertukar nombor telefon dan akhirnya menjalinkan hubungan.
Wanita yang hanya dikenali sebagai ‘JHS’ itu berterus terang kepada suspek bahawa dia berstatus janda dengan tiga orang anak.
Disember 2022, pasangan itu bertemu dan melakukan hubungan intim di sebuah hotel. Januari 2023, JHS mengaku dirinya hamil dan meminta suspek bertanggungjawab untuk menikahinya.
Namun, suspek mengatakan bahawa dia masih belum bersedia. Hal itu membuatkan mangsa berang lalu mengugut mahu mendedahkan perbuatan suspek kepada ibu bapa suspek.
Februari 2023, JHS menghubungi suspek dan mengaku telah menggugurkan kandungannya. 13 Julai 2023, mereka bertemu semula dan menginap di sebuah pondok yang turut didiami oleh dua rakan suspek.
Selepas salah seorang rakannya pulang, manakala seorang lagi tidur di luar pondok, suspek dan mangsa melakukan hubungan intim kira-kira 30 minit. Selesai berbuat demikian, mangsa tertidur dan suspek bermain telefon di kerusi.
Kira-kira jam 5 pagi, tiba-tiba muncul niat suspek untuk membunuh mangsa kerana teringat akan kata-kata teman wanitanya, “Kalau papa tak nak bertanggungjawab, saya akan dedahkan perbuatan awak kepada ibu bapa awak.”
Suspek terus mencekik leher mangsa dan lima minit kemudian mangsa sudah tidak bernyawa.
Jam 11 pagi, suspek memaklumkan kepada rakannya yang tidur di luar pondok bahawa mangsa tidak sihat dan perlu dibawa ke hospital. Sampai di hospital, mangsa diserahkan kepada pasukan perubatan. Suspek dan rakannya terus beredar dan barang-barang milik mangsa juga telah diambil.
Siasatan polis kemudian berjaya menahan suspek utama dan rakannya di sebuah hutan pada 20 Julai lalui.
Rakan suspek turut didakwa terlibat dalam kejadian itu kerana bersubahat membantu menjual telefon bimbit milik mangsa.
Sementara itu, suspek utama akan didakwa dan bakal berdepan dengan hukuman penjara selama 15 tahun.
Sumber: Kompas








