Lelaki mengaku tak bersalah sebabkan kematian suspek yang cuba menyamunnya - The Reporter

Lelaki mengaku tak bersalah sebabkan kematian suspek yang cuba menyamunnya

Sumber gambar: Berita Harian, Sinar Harian

Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.


Pada 19 Mac lalu, cubaan tiga lelaki menyamun sebuah kenderaan berakhir dengan tragedi, apabila salah seorang suspek maut dilanggar oleh pemandu kereta itu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kejadian berlaku pada jam 6.39 pagi, pekerja kedai aluminium berkenaan yang sedang memandu tiba-tiba didatangi tiga suspek yang menaiki dua motosikal.

Salah seorang daripada suspek bertindak memukul cermin bahagian hadapan kereta mangsa, menggunakan sebatang objek sehingga pecah. Panik dengan kejadian itu, mangsa terus memecut keretanya.

Semasa cuba melarikan diri, mangsa telah melanggar salah sebuah motosikal suspek yang cuba menghalangnya di bahagian hadapan.

Akibatnya, suspek berusia 29 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi rakan suspek telah melarikan diri. Bagaimanapun, kedua-dua suspek tersebut berjaya ditahan pada hari yang sama dan direman untuk siasatan.

Mangsa yang menyebabkan kematian suspek juga turut direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dituduh cuai, gopoh

Hari ini, pekerja kedai aluminium berkenaan dihadapkan di Mahkamah Majistret Alor Setar atas pertuduhan menyebabkan kematian suspek yang cuba merompaknya.

Walau bagaimanapun, tertuduh, Han Boon Hou, 33, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Siti Norhidayah Mohd Noor.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian Mohd Shazwan Idzauddin Ishak, 29, dengan melakukan satu perbuatan yang gopoh atau cuai yang tidak terjumlah dengan kesalahan mematikan orang dengan salah.

Peguam, Lim Wei Yong, memohon anak guamnya dikenakan ikat jamin yang rendah kerana hanya mempunyai pendapatan sekitar RM1,200. Selain itu, dia juga menghidap penyakit darah tinggi dan perlu mendapatkan rawatan berkala.

Majistret kemudiannya menetapkan ikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 19 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sumber: Sinar Harian

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Copyright reserved!