Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Motif pembunuhan seorang wanita yang ditemui dalam keadaan mayat reput di Tabuan Jaya, Kuching, baru-baru ini, akhirnya terungkai.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata, memaklumkan bahawa suspek yang kini ditahan reman mengaku bertindak kejam itu kerana terdesak mendapatkan wang untuk menyaksikan perlawanan bola sepak antara Malaysia dan Kemboja dalam kejohanan Piala Mitsubishi Electric Asean 2024 di Phnom Penh, Kemboja, pada 8 Disember lalu.
Menurut Mancha, suspek mengaku mengambil barang kemas milik mangsa, termasuk gelang tangan dan anting-anting emas, sebelum menggadaikannya bagi mendapatkan wang tunai.
“Motif pembunuhan ini dikenal pasti berdasarkan pengakuan suspek yang mengaku telah merancang perbuatan tersebut untuk memperoleh wang,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Terdahulu, media melaporkan penemuan mayat mangsa dalam keadaan reput di sebuah kawasan semak di Tabuan Jaya pada Ahad lalu. Penemuan itu membawa kepada penahanan suspek.
Pihak polis kini sedang melengkapkan kertas siasatan dan akan mengemukakan kes ini ke mahkamah secepat mungkin. Orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga proses perundangan selesai.
Sumber: Harian Metro