Lelaki cekik tunangnya sampai mati kerana belum bersedia untuk berkahwin

Seorang pengantin perempuan di India mati dibunuh oleh pasangannya sendiri pada hari perkawinan mereka, 4 Mei lalu, lapor Hindustan Times.

Menurut jurucakap polis Lucknow, mangsa berusia 21 tahun sebelum itu keluar ke salun kecantikan sebelum majlis perkahwinannya yang akan berlangsung pada sebelah petang.

Bagaimanapun, mangsa tidak pulang ke rumah dan tidak menjawab panggilan telefon menyebabkan semua ahli keluarganya cemas lalu membuat laporan polis.

Bertindak di atas laporan itu, polis segera menjalankan siasatan dengan memeriksa laluan terakhir mangsa, rekod panggilan telefon yang membawa kepada penemuan individu terakhir berhubung dengannya iaitu tunang mangsa sendiri.

Lelaki itu ditahan untuk membantu siasatan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kehilangan mangsa. Suspek menafikan penglibatan kerana dia sibuk dengan persiapan majlis perkahwinan mereka. Setelah didesak, akhirnya suspek mengaku membunuh mangsa.

Dalam keterangannya, suspek mengajak mangsa untuk berjumpa dengannya untuk berbincang dengan membawanya ke tempat terpencil di dalam hutan.

Namun, berlaku pertengkaran di antara mereka dan suspek yang hilang kawalan bertindak mencekik mangsa menggunakan selendang yang dipakainya sehingga tidak bernyawa.

Selepas itu, suspek mematikan telefon bimbit mangsa dan pulang ke rumah seperti biasa.

Suspek mengaku dia membunuh mangsa kerana berasa terpaksa berkahwin dengannya sedangkan dia sebenarnya belum bersedia untuk memberi komitmen dalam rumah tangga.

Suspek bersetuju untuk berkahwin dengan mangsa kerana mahu menyedapkan hati tunangnya itu. Tetapi keadaan berubah apabila dia mula panik bila mana tarikh majlis semakin menghampiri dan akhirnya dia mengambil keputusan untuk membunuh mangsa.

Suspek berusia 27 tahun itu akan didakwa di mahkamah atas pertuduhan membunuh, menculik dan memberi maklumat palsu kepada pihak berkuasa.

Sumber: Hindustan Times

Total
0
Shares
Related Posts