'Laju dia bawa kereta' - 2 lelaki maut, Perodua Bezza bertembung dengan lori treler 40 tan | The Reporter

‘Laju dia bawa kereta’ – 2 lelaki maut, Perodua Bezza bertembung dengan lori treler 40 tan

Sumber gambar: Isu Semasa Official

Dua lelaki maut selepas kereta Perodua Bezza yang dinaiki bertembung dengan sebuah lori treler 40 tan yang sarat dengan muatan tong gas.

Lapor Harian Metro, kemalangan itu berlaku pada petang Rabu, 2 Ogos 2023 di kawasan Simpang Sungai Arip, Jalan Sibu-Tatau.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau, Jankey Jikat mengesahkan pemandu Bezza, Maxmilon Joseph, 25, dan penumpang, Jeffery Belimi, 35, maut kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Bagaimanapun, pemandu dan kelindan lori treler berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat mangsa yang tersepit di bahagian kerusi hadapan berjaya dikeluarkan oleh sepasukan anggota BBP Tatau dengan menggunakan alatan khas.

Mayat mangsa diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Mukah untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, tular video pemandu lori berkenaan yang memaklumkan keadaan jalan pada ketika itu kosong dan mangsa memandu dengan kelajuan tinggi.

Orang ramai dinasihatkan memandu secara berhemah dan berhati-hati tanpa mengikut emosi dan perasaan, terutamanya ketika di waktu hujan.

Sekiranya mengantuk atau keletihan, berhenti di tempat yang selamat dan berehat beberapa minit sebelum menyambung semula perjalanan ke destinasi. Biarlah lambat, asalkan selamat.

Sumber: Harian Metro, Isu Semasa Official

Related Posts