Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Perobohan sebuah kuil Hindu di Rawang, Selangor yang berlaku semalam dipercayai berpunca daripada dakwaan bahawa struktur itu dibina tanpa mematuhi peraturan. Namun tindakan merobohkan sebahagian binaan tanpa rundingan dan pemberitahuan kepada pihak berkuasa tempatan mencetuskan persoalan tentang prosedur serta batas kuasa orang awam dalam menangani isu rumah ibadat.
Naib Presiden Gerakan, Oh Tong Keong menegaskan bahawa walaupun sesuatu struktur didakwa tidak sah, ia bukan alasan untuk mana-mana pihak bertindak sendiri. Katanya, sebarang perobohan perlu melalui proses sah bersama pihak penguat kuasa serta pengurusan kuil, termasuk memberi masa mencukupi untuk memindahkan arca dan barangan keagamaan.
Beliau mengingatkan bahawa tindakan merosakkan tempat ibadat bukan sahaja melanggar undang-undang, malah berpotensi menyinggung perasaan penganut serta menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk negara ini.
Baca juga:
- Rafizi, 7 MP PKR desak kerajaan gantung tugas Azam Baki
- Wanita hamil 7 bulan maut dipercayai dibunuh suami
- Selangor henti penternakan babi, import daging sepenuhnya
Menurutnya, kenyataan Perdana Menteri mengenai kuasa pihak berkuasa tempatan terhadap struktur tidak mematuhi peraturan tidak boleh ditafsir sebagai kebenaran untuk orang awam mengambil tindakan sendiri.
Oh turut menggesa kerajaan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terlibat bagi memastikan perbuatan seumpama itu tidak menjadi kebiasaan.
Dalam masa sama, beliau berpandangan isu status kuil perlu dinilai secara adil, termasuk memberi ruang kepada pengurusan membentangkan sejarah dan latar belakang penubuhannya, khususnya jika ia wujud sejak era kolonial.
Dalam perkembangan berkaitan, polis menahan empat lelaki bagi membantu siasatan kes berkenaan. Ketua Polis Selangor memaklumkan penahanan dibuat susulan laporan diterima, dengan siasatan awal mendapati sebahagian struktur telah dirobohkan tanpa perbincangan dan tanpa pemberitahuan kepada pihak berkuasa tempatan.
Sumber: Malaysia Gazette








