Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan bahawa kuasa pengampunan yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan bukanlah hadiah politik, jauh sekali suatu bentuk simpati peribadi, sebaliknya merupakan mekanisme perlembagaan yang sah sebagai imbangan terakhir dalam sistem keadilan yang bersifat menghukum.
Baginda bertitah, kuasa pengampunan tersebut wajar dinilai dengan emosi dan jiwa yang tenang serta tidak ditafsir melalui sentimen berlebihan.
Menurut Baginda, sebarang pengurangan hukuman tidak memadamkan sabitan mahkamah, tidak menghapuskan rekod kesalahan dan tidak pernah membatalkan prinsip kedaulatan undang-undang yang menjadi asas kepada pentadbiran negara.
“Pengampunan dan pengurangan hukuman ini juga bukan eksklusif kepada satu nama, satu parti atau satu kedudukan. Setiap tahun, ratusan banduan daripada pelbagai latar belakang, termasuk kes jenayah berat dan ringan, menerima pengurangan atau pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu,” titah Baginda.
Baca juga:
- ‘KL Gangster akan kuasai pilihan raya Datuk Bandar KL?’ – Puad Zarkashi
- Pemuda UMNO tolak cadangan pilihan raya Datuk Bandar KL
- ‘Hajah Asmah telah kembali ke rahmatullah’- Dr Na’im
Baginda turut menegaskan bahawa keputusan berkaitan pengampunan tidak dibuat secara unilateral, sebaliknya diputuskan melalui musyawarah Lembaga Pengampunan yang dianggotai wakil-wakil institusi utama negara atau negeri, sekali gus mencerminkan proses semak dan imbang yang berlapis.
Dalam tradisi Raja Berperlembagaan, Baginda bertitah bahawa raja bukan alat sentimen awam dan bukan tunduk kepada tekanan politik, sebaliknya berperanan sebagai payung keadilan yang menenangkan ketika emosi memuncak serta mengimbangi keadaan apabila suara lantang cuba memonopoli kebenaran.
“Kuasa pengampunan tidak harus ditafsir sebagai kelemahan sistem, sebaliknya sebagai peringatan jelas bahawa negara ini tidak ditadbir berdasarkan emosi media sosial, tidak menghakimi melalui pentas politik dan tidak menggantikan perlembagaan dengan kemarahan awam,” titah Baginda.
Baginda menzahirkan keyakinan bahawa Malaysia akan terus kekal sebagai negara yang berprinsip dan tegas serta mendoakan agar negara ini dan negeri Pahang khususnya sentiasa berada dalam rahmat Allah SWT.








