'Kru airline cuba halau anak saya berusia 2 tahun keluar dari pesawat yang sedang berlepas' - Bapa - The Reporter

‘Kru airline cuba halau anak saya berusia 2 tahun keluar dari pesawat yang sedang berlepas’ – Bapa

Gambar dari pengadu

Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.


Membawa anak kecil menaiki pesawat penerbangan komersil bukanlah perkara mudah dan ibu bapa perlulah mengawal anak sebaik mungkin bagi melancarkan perjalanan.

Bagi yang pernah merasai atau melalui pengalaman seperti ini, sudah tentu faham apa yang cuba disampaikan oleh pengadu yang baru semalam berkongsi pengalamannya di media sosial berhubung layanan yang diberikan oleh anak-anak kapal sebuah syarikat penerbangan baharu di Malaysia.

Menurut Fear Dawooz (nama di Facebook), anak perempuannya berusia dua tahun hampir dihalau keluar daripada pesawat hanya kerana enggan berhenti menangis.

Difahamkan, Fear dan keluarganya pada hari kejadian dijadualkan berlepas daripada Langkawi menuju ke Kuala Lumpur pada petang 24 Mei 2023.

Sebelum pesawat berlepas, pengadu ada meminta tali pinggang keledar khas untuk kanak-kanak (infant belt) daripada kru kabin. Namun, permintaan itu ditolak atas sebab polisi yang telah ditetapkan.

Dalam masa sama, kru kabin berkenaan meminta anak pengadu duduk di tempat duduknya sendiri dan tidak boleh duduk di pangkuan ibunya.

“Tak boleh puan, penumpang berusia dua tahun ke atas kena duduk di seat”.

Apabila pesawat mula bergerak, anak pengadu mula menangis meronta-ronta, bangun daripada tempat duduk dan duduk di atas pangkuan isteri pengadu. Hal itu mengundang kedatangan kru kabin yang memberi peringatan agar anaknya duduk di tempatnya sendiri.

“Dia datang hanya beri peringatan tanpa bertanya sama ada anak saya okay atau tidak sebab masa itu anak saya menangis teruk kerana perlu duduk bersendirian berbanding penerbangan sebelum ini dia dibenarkan duduk di pangkuan ibunya.”

Cubaan pengadu untuk meminta infant belt sekali lagi ditolak dan kru kabin menegaskan mereka perlu patuh pada polisi yang ditetapkan. Sedangkan dalam iklan syarikat penerbangan itu ada menyatakan mereka menyediakan infant belt.

“Isteri saya kata, bagilah infant belt itu, untuk take off dan landing sahaja. Bila dah terbang nanti, anak akan tenang semula dan boleh duduk di tempatnya sendiri. Malangnya mereka tetap tak nak bagi dan mengulangi bahawa itu adalah polisi mereka.”

Disebabkan itu, anak pengadu menangis selama 20 minit tanpa henti sebelum pesawat berlepas. Pengadu dan isterinya tertekan dengan situasi itu dan ditambah pula dengan kru kabin yang tidak memahami keadaan mereka.

Tidak beberapa lama selapas itu, ketua kru kabin datang menghampiri mereka dan meminta anaknya ditempatkan di tempat duduknya sendiri atau pesawat tidak akan berlepas, dengan nada yang keras.

“Bukan saya sengaja, anak saya kecil lagi. Sebab itu saya minta you bagi infant belt itu tetapi you tak nak bagi. Tetapi dia dengan sombong dan angkuhnya membalas, ‘You have to! Whatever it takes’.”

Selepas itu, pengadu mendakwa ketua kru kabin menghubungi kapten kapal (juruterbang) dan serta-merta kapten kapal membuat pengumuman yang meminta penumpang (anak pengadu) duduk di tempat duduk sendiri atau tindakan lanjut akan dikenakan.

“To passenger seating on row **, please give your cooperation to remain seated or else, we will call our ground security to dissembark you from the plane”.

“Bayangkan perasaan aku dan wife masa tu yang tengah struggle nak menenangkan anak yang menangis teruk demi nak mengikut SOP mereka. Tiba-tiba kena ugut sampai nak halau keluar dari pesawat!”

Selepas berhempas pulas, akhirnya pesawat selamat berlepas dan anaknya mula berhenti menangis dan situasi juga kembali tentang.

Pengadu juga sempat merakam video kejadian sebagai bukti bagi kegunaan di kemudian hari. Namun tindakannya itu disedari oleh salah seorang kru kabin yang kemudian memaklumkan kepada ketuanya.

Tiba di KLIA 2, sebaik saja keluar dari pesawat, pengadu sekeluarga terpaksa berdepan dengan beberapa pegawai keselamatan lapangan terbang. Pengadu mendakwa, ketua kru kabin meminta mereka ditahan dan video yang dirakam juga perlu dipadamkan.

Kedua-dua pihak berbincang dan pengadu diminta memadamkan video tersebut. Namun, pengadu menjelaskan cerita sebenar dan menegaskan apa yang berlaku di dalam pesawat amat memalukan mereka sekeluarga.

Difahamkan, pengadu juga cuba menghubungi syarikat penerbangan berkenaan untuk membuat aduan. Malangnya, sukar untuk berbuat demikian.

Perkongsian pengadu itu kini tular di media sosial dan ramai netizen bersimpati dengan kejadian yang menimpa pengadu sekeluarga.

Sumber: Facebook Pengadu

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Copyright reserved!