Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan bahawa pentadbir sekolah tidak boleh memandang ringan sebarang aduan berkaitan ejekan atau buli lisan di sekolah kerana ia boleh membawa kepada kesan emosi yang serius terhadap murid.
Penolong Pengarah Unit Pembangunan Sahsiah Murid, Bahagian Pengurusan Sekolah KPM, Mohd Harith Mohd Rahim@Mohd Noor, berkata ejekan yang dianggap gurauan oleh sesetengah pihak sebenarnya antara punca utama berlakunya buli di sekolah.
“KPM pernah menerima aduan murid yang terkesan dengan ejekan seperti ‘mak kau hijau, mak kau kuning’ hingga menyebabkan mangsa hampir cuba terjun bangunan,” katanya.
Beliau menegaskan, pengetua sekolah perlu menyiasat setiap aduan secara jujur dan telus, serta menyelesaikannya dalam tempoh tidak lebih lapan hari seperti yang ditetapkan dalam sistem pelaporan KPM.
Baca juga:
- KPM pasang CCTV di sekolah berisiko buli – Fadhlina Sidek
- KPM tolak rotan, pilih nilai dan adab sebagai tunjang pendidikan
- Cadangan umur persaraan 65 tahun: Hentikan sebelum golongan muda hilang masa depan
Mohd Harith turut mengingatkan bahawa buli dalam apa jua bentuk termasuk ejekan lisan tidak boleh dikompromi, dan setiap pentadbir sekolah merupakan barisan hadapan dalam melaksanakan dasar kementerian itu.
“Bila pengadu mengadu, pengetua atau GB kena jujur dan siasat aduan itu kerana KPM mempunyai sistem dan prosedur yang sudah dibangunkan sejak bertahun-tahun lamanya.
“Pengetua dan GB tidak boleh mengambil masa lama untuk ambil tindakan sehingga menyebabkan pengadu tidak mahu meneruskan kes kerana aduan itu masih tidak selesai-selesai.
“Dalam sistem pelaporan kita jelas, menetapkan tujuh ke lapan hari untuk kes itu diselesaikan dan tidak boleh ditangguh,” katanya.
Beliau turut menasihatkan pihak sekolah agar tidak menghakimi aduan murid, sebaliknya menjalankan siasatan terperinci bagi mengelakkan masalah menjadi lebih besar.
Sumber: Harian Metro