Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Anggaran kos purata per bilik darjah dalam projek pembinaan sekolah baharu kini mencecah sehingga RM520,000, hampir sekali ganda berbanding tempoh lima tahun sebelumnya, namun angka tersebut bukan merujuk kepada kos membina satu bilik darjah secara berasingan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata bagi tempoh 2016 hingga 2020, kos purata per bilik darjah dianggarkan antara RM180,000 hingga RM250,000, manakala bagi tempoh 2021 hingga 2026, julat kos meningkat kepada sekitar RM280,000 hingga RM520,000.
Menurut beliau, anggaran tersebut diperoleh daripada analisis dokumen As Tendered Detailed Abstract (ATDA) Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi tempoh 10 tahun lalu, yang melibatkan kos pembinaan blok bangunan merangkumi bilik darjah, tangga, koridor dan tandas sebelum jumlah keseluruhan itu diagihkan mengikut bilangan bilik darjah dalam sesuatu projek.
Baca juga:
- Jeritan selamatkan nyawa, kanak-kanak nyaris maut diserang individu di Rawang
- ‘Kalau rasa siasatan tak ke mana, saya akan usulkan siasatan dihentikan’ – Rafizi Ramli
- ‘Tiada kompromi salah guna kuasa, rasuah penjawat awam’ – KSN
Fadhlina menjelaskan, angka berkenaan belum mengambil kira kos keseluruhan pembinaan sekolah, termasuk kerja awalan, kerja tanah, pembangunan infrastruktur lengkap, urusan utiliti, bayaran fi profesional serta caj pembangunan kepada pihak berkuasa tempatan.
Selain itu, kos sebenar projek turut meningkat apabila melibatkan pembinaan komponen tambahan seperti blok pentadbiran, Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), bilik khas, padang, serta penyediaan perabot, peralatan dan perkakasan mengikut piawaian pendidikan yang ditetapkan.
Beliau berkata, variasi kos antara projek juga dipengaruhi faktor logistik, keadaan tapak bina dan keperluan infrastruktur luar, menyebabkan kos di sesetengah kawasan meningkat selaras dengan Jadual Kadar Harga 2025 yang disediakan oleh JKR.
Fadhlina menjawab soalan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, yang meminta perincian metrik kos sebuah bilik darjah mengikut komponen kos, jenis sekolah, lokasi bandar atau luar bandar serta negeri bagi tempoh 2015 hingga 2025.
Bagi projek pembinaan sekolah melebihi RM25 juta, tempoh pembinaan lazimnya ditetapkan selama 36 bulan mengikut Piagam Pelanggan JKR yang dikemas kini pada Januari 2025, namun tempoh tersebut boleh berubah bergantung kepada kekangan di tapak bina sebelum sekolah beroperasi sepenuhnya.
Sumber: Sinar Harian








