Hannah Yeoh komited pastikan kampung tradisi Melayu terus dipelihara | The Reporter

Hannah Yeoh komited pastikan kampung tradisi Melayu terus dipelihara

Hannah Yeoh komited pelihara kampung tradisi Melayu di Wilayah Persekutuan
Pemeliharaan kampung tradisi Melayu perlu seiring pembangunan bandar demi mengekalkan nilai sejarah dan identiti Wilayah Persekutuan. | Sumber gambar: FB Hannah Yeoh

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Hannah Yeoh menegaskan komitmennya untuk memastikan kampung tradisi Melayu Wilayah Persekutuan terus dipelihara dan tidak terpinggir dalam arus pembangunan bandar yang pesat.

Beliau berkata, pendirian itu bukan bersifat reaksi semasa, sebaliknya konsisten dan boleh disemak menerusi rekod hansard ketika berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Ahli Parlimen Segambut.

“Rekod saya telah nyatakan betapa pentingnya kampung tradisi orang Melayu dipelihara di Wilayah Persekutuan. Bangunan komersial senang dibina, tetapi kampung tradisi semakin sukar ditemui,” katanya pada sidang media di Menara Seri Wilayah, semalam.

Menurut Hannah, kampung tradisi Melayu mempunyai nilai sejarah, budaya dan identiti yang tidak boleh digantikan dengan pembangunan komersial semata-mata. Justeru, usaha pemeliharaan perlu dijadikan sebahagian daripada perancangan pembangunan bandar bagi memastikan keseimbangan antara kemajuan dan warisan dapat dikekalkan demi generasi akan datang.

Beliau turut menegaskan fokusnya sebagai menteri adalah kepada dasar, pelaksanaan dan hasil kerja, bukan latar belakang peribadi, selain komited untuk membiarkan rekod pencapaian menjadi ukuran kepercayaan rakyat.

Baca juga:

Terdahulu, pelantikan Hannah dan timbalannya, Datuk Lo Su Fui sebagai Menteri dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) mencetuskan reaksi awal daripada beberapa pihak, termasuk segelintir pemimpin politik yang menyuarakan ketidaksetujuan terhadap pelantikan dua individu berbangsa Cina bagi portfolio berkenaan.

Kritikan itu berlegar di media sosial dan wacana politik, dengan dakwaan jawatan tersebut sepatutnya dipimpin oleh wakil Melayu atau Islam memandangkan Wilayah Persekutuan turut menempatkan komuniti kampung tradisi Melayu yang signifikan serta melibatkan isu tanah, warisan dan sosio-budaya.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mempertahankan keputusan Kabinet dengan menegaskan bahawa pelantikan menteri dibuat berdasarkan keupayaan, rekod perkhidmatan dan komitmen terhadap amanah rakyat, bukannya latar belakang kaum atau agama.

Menurut beliau, Kerajaan Madani tidak boleh terperangkap dalam politik perkauman sempit, sebaliknya perlu memberi keutamaan kepada tadbir urus yang berkesan, inklusif dan berpaksikan hasil selagi kepentingan rakyat dan Perlembagaan dipelihara.

Sumber: Malaysia Gazette

Related Posts