KKM perkukuh saringan kesihatan di pintu masuk negara susulan wabak Nipah | The Reporter

KKM perkukuh saringan kesihatan di pintu masuk negara susulan wabak Nipah

Malaysia kekal berjaga-jaga terhadap virus Nipah susulan wabak di West Bengal, India.
Gambar: Astro Awani

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan bahawa tiada kes baharu penyakit Nipah dilaporkan di Malaysia setakat ini, susulan kejayaan membendung wabak penyakit tersebut sejak September 1999.

KKM merujuk kepada laporan media mengenai situasi wabak Nipah yang berlaku di West Bengal, India, dan menekankan bahawa pemantauan berterusan sedang dijalankan bagi memastikan keselamatan kesihatan awam.

Menurut KKM, penyakit Nipah adalah penyakit berjangkit zoonotik yang disebabkan oleh virus Nipah (NiV), dengan keluang (flying foxes/fruit bats) sebagai perumah semulajadi. Jangkitan boleh berlaku melalui sentuhan dengan cecair badan haiwan atau manusia yang dijangkiti, pengambilan makanan tercemar, atau kontak langsung dengan individu yang dijangkiti. Gejala lazim termasuk demam, sakit kepala, muntah, batuk, sesak nafas, sawan, kekeliruan, dan kebingungan, dengan tempoh pengeraman antara lima hingga 14 hari.

“Komplikasi serius seperti radang otak (encephalitis) dan masalah pernafasan boleh berlaku, dengan kadar kematian antara 40% hingga 75%,” katanya.

KKM menekankan bahawa penyakit ini wajib dilaporkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Pemantauan turut dipertingkatkan melalui kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) dan PERHILITAN menerusi pendekatan One Health, memastikan virus Nipah tidak dikesan dalam kalangan haiwan domestik atau liar setakat ini.

“Orang awam, khususnya pengembara ke kawasan berisiko, dinasihatkan menjaga kebersihan diri, mengelakkan sentuhan dengan haiwan yang sakit, dan tidak mengambil produk yang disyaki tercemar,” jelasnya.

Baca juga:
https://twitter.com/drdzul/status/2016084168263008407?s=46

Dalam kenyataan rasmi di media sosial, Menteri Kesihatan Malaysia,Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menegaskan bahawa KKM berada dalam ‘hubungan langsung’ dengan WHO dan pihak berkuasa berkaitan bagi mengesahkan data terkini.

“‘Penjaga pintu’ kami di semua lapangan terbang antarabangsa, pelabuhan laut, dan pintu sempadan darat berada dalam keadaan berjaga-jaga tinggi.

“Pasukan Perubatan Kecemasan (EMT) sedia bertindak, dan protokol bagi individu simptomatik dilaksanakan dengan segera. Kami bertindak berdasarkan sains dan bukti, bukan khabar angin.

“Saya ingin menenangkan sebarang kebimbangan orang ramai: Sistem keselamatan kesihatan kita kukuh, telah diuji, dan bersedia. Kami meningkatkan tindak balas secara bersesuaian untuk memastikan keselamatan anda,” katanya.

KKM menegaskan bahawa walaupun Malaysia tidak melaporkan sebarang kes sejak 1999, kesiapsiagaan dan pengawasan tetap diperkuatkan. Langkah-langkah termasuk saringan kesihatan di Pintu Masuk Antarabangsa, pengukuhan kapasiti makmal, kesiapsiagaan fasiliti kesihatan, pelaksanaan langkah pencegahan dan kawalan infeksi (IPC), serta kerjasama rentas sektor bagi memastikan pencegahan kemunculan semula penyakit Nipah di negara ini.

Thailand turut memperketat saringan penumpang udara susulan wabak Nipah di West Bengal, India, yang setakat ini mencatat lima kes, menggunakan pendekatan serupa semasa Covid-19.

Related Posts