Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pasangan selebriti, Janna Nick dan Dini Schattzmann telah selamat melangsungkan pernikahan beberapa hari lalu. Sejurus majlis pernikahan tersebut, diadakan pula majlis resepsi pasangan itu yang dikatakan berlangsung di sebuah resort terkemuka di Langkawi.
Majlis tersebut mengundang pelbagai persepsi netizen apabila mereka menyatakan majlis tersebut seperti diadakan seperti meniru perkahwinan barat dan lagi menjadi perhatian, apabila kelibat pendakwah bebas, Ustaz Wadi Annuar juga hadir pada majlis resepsi itu.
Bagaimanapun, Ustaz Wadi Annuar menjawab persoalan orang ramai apabila tular video dirinya menghadiri majlis resepsi pasangan berkenaan.
Datang sebab dijemput untuk makan kenduri dan baca doa
Menurut Ustaz Wadi Annuar atau nama sebenarnya, Mohamad Wadi Annuar Ayub, dia dijemput oleh pihak tuan rumah untuk menghadiri majlis perkahwinan dan bacaan doa.
Jelasnya, ketika tiba di majlis tersebut, dia tidak melihat pengantin lelaki mahupun perempuan lagi sebelum diminta pihak penganjur untuk duduk di suatu tempat.
Selepas lebih kurang 10 minit, pengerusi majlis buat pembukaan sedikit dan mengumumkan untuk saya baca doa. Ketika itu, pengantin tiada lagi.
“Kemudian, selesai membaca doa, pengerusi majlis umum perarakan masuk pengantin dari hujung sana. Saya pun tengok dan terus beritahu pembantu saya, lepas ini kita kena terus balik.
“Jadi saya ambil keputusan tidak makan, tidak bergambar, tidak bersama dengan tentatif sehingga ke akhir majlis. Saya buat keputusan untuk terus balik,” katanya.
Ujarnya lagi, dia tidak tahu apa yang akan berlaku dalam majlis itu kerana dijemput hanya untuk makan kenduri dan bacaan doa.
Tak nak keruhkan keadaan
“Apabila melihat keadaan sebegitu, saya terus ajak pembantu saya beransur selepas pengantin beredar dan memang kami balik pun. Boleh tanya penganjur.
“Itu yang diajar oleh agama Islam, iaitu tidak memalukan orang, tidak menimbulkan persepsi yang negatif, tidak menjatuhkan tuduhan dan fitnah pada orang.
“Hukum tetap hukum tetapi pada masa yang sama kita tidak mahu keruhkan keadaan.
“Alhamdulillah semuanya tenang, pengantin pun ok tidak rasa apa-apa, saya pun menghadiri kenduri kahwin wajib. Apabila saya sampai, baru saya tahu keadaan di situ dan kemudiannya beredar,” katanya.
Sumber: Kosmo! Online








