Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Seorang pelakon dalam filem The Gods Must Be Crazy, yang meraih kutipan AS$90 juta (sekitar RM243 juta pada tahun itu), hanya dibayar AS$300 (sekitar RM810) untuk lakonannya. Dia hanya dibayar dengan upah yang kecil berbanding kutipan filem itu.
Mendiang N!xau Toma memegang watak utama dalam filem komedi arahan Jamie Uys pada tahun 1980 itu, yang menceritakan kisah suku kaum di Afrika Selatan yang menemui sebotol kaca Coca-Cola yang jatuh dari pesawat. Mereka menganggap botol itu sebagai ‘hadiah’ dari tuhan, dan hal itu mencetuskan kekecohan apabila ramai yang ingin memilikinya.
Ketua suku, Xi (lakonan Toma), mengambil keputusan untuk memulangkan botol tersebut demi mengembalikan keamanan di kampungnya. Dalam perjalanan yang penuh kelucuan, dia bertemu dengan ahli biologi, seorang guru sekolah, dan sekumpulan pengganas, yang menambah kekalutan dalam cerita.
Walaupun memegang watak penting, Toma hanya menerima bayaran kecil sebanyak AS$300 (sekitar RM810) untuk 10 hari pertama penggambaran. Toma yang kurang memahami nilai wang, membiarkan wang tersebut hilang ditiup angin, dan akhirnya diberikan 12 ekor lembu sebagai ganti.
Selepas penggambaran selesai, Toma menerima AS$100 (sekitar RM270) sebulan, dengan tambahan AS$20,000 (sekitar RM54,000) dalam akaun amanah atas namanya.
Toma yang dilahirkan di Namibia adalah sebahagian daripada komuniti Bushmen, kumpulan masyarakat asal yang hidup sebagai pemburu. Toma fasih dalam beberapa bahasa tempatan seperti Jul’hoan, Otjiherero, dan Tswana. Pengalaman dalam filem ini adalah kali pertama dia keluar dari komuniti asalnya.
Penggambaran dijalankan di Namibia dan Botswana, dan bagi mengelakkan kejutan budaya, Toma akan diterbangkan pulang ke kampungnya di Tsumkwe setiap tiga hingga empat minggu.
Toma meninggal dunia pada usia sekitar lima puluhan pada tahun 2003, dan kematiannya disahkan oleh pihak polis tempatan.