Pegawai kerajaan dipecat gara-gara ceraikan isteri dua hari sebelum dilantik | The Reporter

Pegawai kerajaan dipecat gara-gara ceraikan isteri dua hari sebelum dilantik

Foto kolaj menunjukkan pasangan pengantin berpakaian seragam rasmi di sebelah kiri dan wanita bertudung bersama seorang individu memberi sokongan di sebelah kanan — menggambarkan kisah perceraian dan nasib isteri selepas suami dipecat sebagai pegawai kerajaan di Aceh.
Gara-gara ceraikan isterinya dua hari sebelum dilantik, pegawai kerajaan di Aceh akhirnya dipecat — kisah Melda raih simpati ramai.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang pegawai kontrak kerajaan di Aceh Utara dipecat selepas kisah peribadinya menceraikan isterinya, dua hari sebelum majlis pelantikan, tular di media sosial.

Ketua Daerah (Bupati) Aceh Utara, Ayah Wa berkata, hasil siasatan mendapati pegawai itu terbukti curang dan meninggalkan isteri serta dua anaknya, sekali gus melanggar kod etika penjawat awam.

“Kami tidak bertolak ansur dengan tingkah laku yang menjatuhkan maruah dan etika pegawai kerajaan,” tegas beliau.

Diceraikan kerana tiada lauk di rumah

Mangsa, Melda Safitri, 33, mendedahkan dia diceraikan pada 15 Ogos, dua hari sebelum suaminya dilantik sebagai pegawai kontrak kerajaan. Pertengkaran bermula apabila suaminya marah kerana tiada lauk di rumah walaupun dirinya tidak diberikan nafkah.

“Bagaimana saya mahu memasak sedangkan tiada apa-apa yang boleh dimasak di rumah,” katanya.

Baca juga:

Melda berkata, suaminya terus mengemas pakaian dan menceraikannya pada hari sama sebelum berangkat ke upacara pelantikan.

Beliau mengakui kecewa kerana selama ini turut membantu suaminya dari awal, termasuk membeli pakaian seragam rasmi penjawat awam dengan menggunakan hasil jualan cabai dan sayur di pasar.

“Begitu Allah beri rezeki, malah dia menceraikan saya,” katanya.

Terima sokongan masyarakat dan NGO

Kisah Melda menjadi tular selepas video dirinya diiringi jiran menaiki van ke kampung halaman dikongsi di media sosial dan meraih lebih 700,000 tontonan. Ramai warganet menyuarakan simpati serta kagum dengan ketabahannya.

Susulan itu, Gerakan Nasional Perlindungan Perempuan dan Anak (Germas PPA) tampil menawarkan bantuan guaman dan psikologi kepada Melda serta dua anaknya.

“Kami ingin memastikan Melda dan anak-anaknya mendapat keadilan dan perlindungan sewajarnya,” kata wakil pertubuhan itu, Rica Parlina.

Melda kini menetap bersama ibu bapanya di Aceh Selatan dan meneruskan hidup dengan menjual gorengan serta minuman untuk menyara anak-anaknya.

Sumber: Tribun News

Related Posts