GEORGETOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pejabatnya pada jam 4.50 petang tadi.
Lapor Free Malaysia Today, suasana pejabat kerajaan di Komtar bertukar gempar apabila 12 anggota SPRM masuk dari pelbagai arah ke dalam bangunan Komtar. 6 anggota SPRM masuk ke bilik mesyuarat Exco, diikuti empat anggota lain tidak lama kemudian di tingkat 28 yang menempatkan pejabat Lim Guan Eng.
Tidak beberapa lama kemudian, Peguam Sanisvara Nethaji Rayer dan adiknya, Lim Hui Ying, tiba di pejabat Guan Eng. Kerisaun tampak jelas di wajah ahli keluarganya itu.
Menurut Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, Guan Eng ditahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang dipercayai berkaitan dengan tanah pertanian dan pembelian banglo di Jalan Pinhorn.
Guan Eng akan dibawa ke Mahkamah Seksyen George Town esok.
Difahamkan, 3 anggota polis berpakaian biasa dari balai polis Komtar menempatkan diri mereka di pintu masuk alternatif pejabat itu di bahagian timur bangunan. Beberapa individu yang dipercayai anggota Cawangan Khas juga dikesan berlegar di ruang legar berhampiran lif.
Ramai anggota polis peronda bermotor dan berkereta juga dikerahkan ke kawasan sekitar seolah-olah mengepung bangunan Komtar.