Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Lapan warga Malaysia memfailkan saman berjumlah RM60 juta terhadap kerajaan Malaysia dan Petubuhan Kesihatan Dunia (WHO) atas dakwaan komplikasi kesihatan dan kematian yang disebabkan oleh vaksinasi Covid-19.
Memetik laporan dari Malaysia Kini, writ saman 25 defenden itu termasuk bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob, Kementerian Kesihatan, kerajaan, serta Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus.
Defendan lain termasuk Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad serta menteri sebelumnya Dr Adham Baba dan Khairy Jamaluddin, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan menteri sebelumnya Hamzah Zainudin, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan menteri sebelumnya Dr Mohd Radzi Md Jidin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zaliha Mustafa, serta bekas Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Lapan plaintif berkenaan didakwa mengalami kesan daripada arahan kerajaan untuk mengambil vaksin wajib semasa kemuncak penularan wabak beberapa tahun lalu.
Dalam laporan tersebut juga menyebut beberapa kesan yang dialami oleh individu-individu berkenaan selepas mengambil suntikan. Antaranya, seorang penduduk Muar mendakwa bapanya meninggal dunia selepas menerima dua dos vaksin Sinovac dan satu dos penggalak Pfizer.
Seorang plaintif lain yang merupakan pekerja pembersihan rumput mendakwa mengalami strok, kesukaran bercakap, dan masalah untuk berjalan seperti biasa sehingga memerlukan tongkat selepas mematuhi arahan kerajaan untuk menerima dua dos vaksin Pfizer.
Seorang tukang urut wanita pula mendakwa mengalami muntah dan sakit kepala yang kronik selepas menerima satu dos vaksin Pfizer dan lagi menyedihkan kini dia perlu menggunakan kerusi roda.
Dalam pada itu, seorang pekerja sebuah syarikat pengurusan amanah pula mendakwa dirinya diarahkan untuk mengambil cuti tanpa gaji atau meletakkan jawatan secara sukarela kerana enggan mengambil vaksin.
Menuntut pengisytiharan dari mahkamah
Sementara itu, mereka juga memohon pengisytiharan mahkamah bahawa Covid-19 adalah pandemik yang direka, ia merupakan senjata biologi buatan manusia, dan meminta Malaysia untuk menarik diri dari WHO dan Forum Ekonomi Dunia (WEF).
Mereka juga menuntut mahkamah mengisytiharkan bahawa “koronavirus semula jadi virus yang tidak pernah dapat dibuktikan” oleh Kementerian Kesihatan dan WHO yang menurut mereka gagal menjalankan proses pengasingan mengikut piawaian perubatan.
Plaintif juga menuntut pengisytiharan dan writ certiorari atau larangan terhadap Anwar, Kementerian Kesihatan dan kerajaan menghentikan suntikan “vaksin eksperimental beracun,” serta membatalkan semua jenis dan bentuk program seperti Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) serta-merta.








