Guru mengaku tak bersalah sebar kenyataan palsu, berdepan hukuman penjara 2 tahun | The Reporter

Guru mengaku tak bersalah sebar kenyataan palsu, berdepan hukuman penjara 2 tahun

Guru Bahasa Inggeris, Siti Hajar Aflah Shaharuddin, tiba di perkarangan mahkamah diiringi jurugambar serta orang awam.
Guru Bahasa Inggeris, Siti Hajar Aflah Shaharuddin, didakwa sebar kenyataan palsu mengenai kematian Zara Qairina hadir ke Mahkamah Majistret Sepang untuk prosiding sebutan kes. | Kredit gambar: Media Sabah

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang guru Bahasa Inggeris, Siti Hajar Aflah Shaharuddin, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas tuduhan mengeluarkan kenyataan palsu mengenai kematian pelajar Tingkatan 1, Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Tertuduh berusia 39 tahun itu didakwa menggunakan akaun TikTok SHA_Abrienda dengan menyebarkan kandungan kononnya mangsa mati selepas dimasukkan ke dalam mesin basuh. Kenyataan tersebut dikatakan boleh menimbulkan kegentaran awam dan dikesan oleh polis di KLIA pada 6 Ogos lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, jika sabit kesalahan. Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Peguam, Mohamad Zaiful Bahrin Kamde, memohon jaminan rendah dengan alasan tertuduh seorang ibu tunggal tiga anak yang masih bersekolah selain menanggung ibu bapa.

Baca juga:

Tertuduh akui muat naik hanya ‘content’

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, sebelum ini mendedahkan guru terbabit mengakui kandungan yang dimuat naik hanyalah untuk tujuan ‘content’. Polis turut mengesahkan penahanan wanita berusia 39 tahun itu di Rawang selepas maklumat tidak benar tersebut tular di media sosial.

Untuk rekod, Zara Qairina, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang selepas dipercayai jatuh dari tingkat tiga asrama sekolah pada 16 Julai lalu sebelum meninggal dunia keesokan harinya.

Tragedi itu mencetuskan tanda pagar #JusticeforZaraQairina yang menimbulkan desakan terhadap pihak berkuasa serta Kementerian Pendidikan untuk memberi penjelasan telus.

Sumber: Sinar Harian

Related Posts