Lelaki 'aniaya' keluarga Palestin-Amerika, meninggal dunia dalam penjara | The Reporter

Lelaki ‘aniaya’ keluarga Palestin-Amerika, meninggal dunia dalam penjara

Seorang lelaki warga emas berpakaian seragam penjara berwarna merah duduk di mahkamah dengan wajah serius.
Joseph Czuba, lelaki yang disabit bersalah kerana menyerang keluarga Palestin-Amerika, dilihat di mahkamah sebelum dijatuhkan hukuman penjara 53 tahun.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Joseph Czuba, pesara berusia 73 tahun yang dijatuhi hukuman penjara 53 tahun atas kesalahan membunuh kanak-kanak Palestin-Amerika berusia 6 tahun dalam serangan bermotif kebencian, disahkan meninggal dunia dalam penjara.

Menurut kenyataan Pejabat Sheriff Daerah Will, Czuba meninggal dunia pada Khamis lalu ketika berada di bawah jagaan Jabatan Pemulihan Illinois, hanya tiga bulan selepas dia dihukum penjara kerana membunuh Wadee Alfayoumi dan mencederakan ibunya, Hanan Shaheen.

Kes tragis ini mengejutkan komuniti tempatan dan mencetuskan kebimbangan baharu terhadap gelombang kebencian anti-Islam di Amerika Syarikat.

Baca juga:

Diserang kerana beragama Islam

Serangan kejam itu berlaku pada Oktober 2023 di Plainfield, Illinois, hanya beberapa hari selepas tercetusnya perang antara Israel dan Hamas. Wadee dan ibunya yang merupakan pelarian Palestin, menyewa bilik di rumah Czuba ketika dia tiba-tiba bertindak ganas.

Menurut pihak pendakwaan, Czuba menyerang Hanan terlebih dahulu sambil berkata mereka perlu keluar dari rumah itu kerana mereka beragama Islam. Dia kemudian beralih kepada Wadee dan menikam kanak-kanak itu sebanyak 26 kali dengan pisau yang diambil dari sarung pinggangnya, sebelum meninggalkan senjata tersebut yang masih tertusuk dalam tubuh mangsa.

Rakaman audio panggilan 911 oleh Hanan, rakaman kamera badan polis dan gambar-gambar di lokasi kejadian turut dipersembahkan di mahkamah sebagai bukti. Gambar-gambar yang dikongsi adalah sangat mengerikan sehingga hakim meminta skrin dipusingkan ke arah yang tidak dapat dilihat oleh hadirin termasuk keluarga mangsa.

Bekas isteri Czuba, Mary, turut tampil memberi keterangan dalam perbicaraan. Katanya, Czuba berubah sikap dan sering menunjukkan kegelisahan selepas mengikuti perkembangan perang Israel-Hamas.

Wadee Alfayoumi dan ibunya Hanan Shaheen

Luka kekal dalam komuniti

Kejadian itu juga meninggalkan kesan mendalam terhadap komuniti Palestin di sekitar Chicago, terutamanya di Plainfield yang mempunyai populasi warga Palestin yang besar. Majlis pengebumian Wadee dihadiri ratusan orang dan pihak berkuasa tempatan turut menamakan sebuah taman permainan sebagai penghormatan kepada mangsa kecil itu.

Walaupun pelaku telah meninggal dunia, kes ini terus menjadi simbol bahaya kebencian yang bersifat perkauman dan keagamaan, serta mengingatkan semua pihak tentang pentingnya perpaduan dan keamanan dalam masyarakat majmuk.

Sumber: NPR

Related Posts