Kes SRC: Najib Razak dilepas tanpa dibebaskan | The Reporter

Kes SRC: Najib Razak dilepas tanpa dibebaskan

Najib Tun Razak dilepas tanpa dibebaskan atas pertuduhan pengubahan wang haram
Najib Tun Razak dilepas tanpa dibebaskan atas pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International. Gambar: Kosmo

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana berjumlah RM27 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Najib, 72, sebelum ini didakwa pada 3 Februari 2019 atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil daripada aktiviti haram menerusi tiga akaun AmPrivate Banking miliknya di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.

Memetik Sinar Harian, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik syarikat sama.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap beliau, yang kemudiannya dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan selepas rayuannya ditolak.

Beliau telah memfailkan petisyen bagi mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022 dan Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan tempoh hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun serta denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Related Posts