Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Empat lelaki ditahan kerana disyaki menghalang tugas polis ketika menjalankan operasi di Telipok, Kota Kinabalu, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim bin Muda berkata, pihaknya menerima satu laporan berhubung kejadian tersebut kira-kira jam 6.45 petang, ketika sepasukan pegawai polis sedang menjalankan tugas untuk menahan dan membawa seorang suspek bagi membantu siasatan kes kecederaan dan penderaan pelajar madrasah yang dilaporkan sebelum ini.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati beberapa individu bertindak agresif dengan menghalang pergerakan kenderaan polis, mengeluarkan kata-kata kesat, cuba membuka pintu kenderaan serta menendang dan memukul kenderaan berkenaan sehingga menjejaskan kelancaran tugas polis.
“Susulan kejadian itu, pihak polis telah menahan empat lelaki tempatan berusia sekitar 30 hingga 50-an bagi membantu siasatan. Polis turut merampas sebatang besi golf yang dipercayai digunakan semasa insiden berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Baca juga:
- ‘Papa Zola dan Mama Zila’ versi sebenar
- ‘Politik tanpa ihsan adalah politik tanpa arah’ – Afdlin Shauki
- ‘Hanya Mat Jenin boleh dapat terowong percuma’ – Lim Guan Eng
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas. Pihak polis juga akan memohon reman terhadap kesemua suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, selain menjalankan ujian saringan air kencing dan merakam percakapan saksi-saksi kejadian.
Dalam pada itu, Kasim menasihatkan orang awam supaya tidak bertindak mengikut perasaan, sebaliknya bertenang dan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
“Sebarang ketidakpuasan hati hendaklah disalurkan melalui saluran undang-undang yang betul,” katanya.








