Siasatan kes membabitkan pemain Selangor FC Muhammad Faisal Abdul Halim tahun lalu dilaporkan telah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Menurut peguam kepada Faisal, Nik Zarith Nik Moustpha pihaknya telah dimaklumkan mengenai perkara itu menerusi satu surat bertarikh 18 Februari 2025 daripada pihak Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Pihak kami dimaklumkan bahawa kes ini sudah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut ataupun NFA, No Further Action.
“Surat tersebut juga telah menyatakan bahawa pihak PDRM tidak dapat mengesan sebarang petunjuk yang dapat mengaitkan kes ini dengan mana-mana individu sebagai suspek dan segala usaha yang telah dijalankan bagi tujuan tersebut tidak membuahkan hasil.
“Ternyata bahawa anak guam kami berasa kecewa dengan hasil keputusan siasatan tersebut. Kami akan teruskan perbincangan dengan anak guam kami, Faisal bin Abdul Halim, untuk menentukan langkah-langkah yang seterusnya,” katanya.
Terdahulu, Faisal Halim menjadi mangsa simbahan asid di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara, menyebabkan beliau mengalami kelecuran tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan.
Sumber: Astro Awani








