Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pendakwah selebriti Azman Syah Alias, 43, atau lebih dikenali sebagai PU Azman, dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki bawah umur, dua tahun lalu.
Hakim Datuk Surita Budin turut memerintahkan Azman menjalani kaunseling pemulihan selama dua tahun dan pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat hukuman.
Tertuduh melakukan perbuatan itu di Nilai pada 5 Februari 2022 dan 6 Julai 2022 melibatkan dua mangsa berusia 16 dan 17 tahun.
Azman mengaku bersalah dan memohon hukuman minimum, namun Timbalan Pendakwa Raya menekankan hukuman tegas perlu sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.
“Tertuduh merupakan pendakwah selebriti yang mana perbuatan tersebut tidak harus dilakukan oleh tokoh pendakwah seperti beliau terhadap kanak-kanak.
“Pendakwaan memandang kesalahan ini bukanlah satu perkara mudah yang harus diambil keringanan dalam menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh,” katanya.
Sebelum ini, pada 27 September, Azman dijatuhi hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan di Mahkamah Klang atas kesalahan sama terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun.
Sumber: Harian Metro








