CYBERJAYA – Dua lelaki yang memandu sebuah kenderaan yang mirip kenderaan perisai milik Angkatan Tentera Malaysia berserta dua pelancar roket tiruan, di Jalan Semarak Api, semalam, lapor Berita Harian.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali, berkata, pihaknya menerima aduan orang awam mengenai sebuah kenderaan yang membawa dua pelancar roket itu berkeliaran di kawasan Cyberjaya.
Polis yang melakukan rondaan pada jam 11.30 pagi itu telah menahan kenderaan tersebut untuk pemeriksaan.
“Hasil siasatan mendapati dua lelaki berkenaan menjual kopi dan kenderaan itu telah diubah suai sebagai ‘food truck’ bagi menjual minuman itu.
“Kenderaan itu bukanlah kenderaan tentera yang sebenar. Pelancar roket itu juga adalah palsu,” katanya.
Dua lelaki yang masing-masing berusia 28 dan 24 tahun telah ditahan sebelum dibebaskan dengan ikat jamin.
Kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan keraan mengubah suai kenderaan.
Sementara itu, netizen menganggap tindakan mengubahsuai kenderaan itu adalah ‘sengaja’ dilakukan bagi meraih publisiti percuma apabila kenderaan terbabit ditahan dan berita penahanan itu disiarkan oleh pihak media.
“Sudah jelas bahawa undang-undang di negara kita melarang orang awam mengubahsuai kereta menyerupai kenderaan tentera. Kenapa masih buat? Takkan undang-undang seperti itu pun tak tahu? Nampak sangat pihak terbabit sengaja mengubahsuai kenderaan itu agar ditahan polis dan dapat publisiti percuma dari pihak media tempatan,” kata netizen. – PIXEL MEDIA