Seorang wanita dilaporkan maut selepas dibelasah oleh suaminya yang dipercayai cemburu, menggunakan tukul besi dalam kejadian awal pagi Rabu, 5 April 2023, di Kampung Besol, Bukit Besi, Dungun, Terengganu.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa berusia 41 tahun dibelasah sehingga mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan dahi.
Sebelum kejadian mangsa baru sahaja sampai di rumah selepas menghantar anak ke sekolah berhampiran. Sebaik saja masuk, pasangan itu mula bergaduh mengenai sesuatu menyebabkan dia dipukul menggunakan tukul besi sehingga tidak bernyawa.
Suspek kemudian pergi ke rumah datuknya yang tidak beberapa juah dari lokasi dan memaklumkan kepada kakaknya yang dia telah membunuh mangsa menggunakan tukul tersebut, sambil menangis ketakutan.
Suspek pulang semula ke rumah dan meratapi mayat isterinya yang terbaring di ruang tamu. Disebabkan ketakutan melampau, suspek cuba membunuh diri tetapi dihalang oleh ahli keluarga dan jiran.
Ahli keluarga suspek segera menghubungi polis dan mereka memujuk mangsa untuk menyerah diri sebelum dibawa ke Balai Polis Bukit Besi untuk tindakan lanjut.
Difahamkan, pasangan itu telah berkahwin sejak tiga tahun lalu dan dikurniakan seorang anak perempuan berusia enam bulan. Mangsa yang bekerja sebagai peniaga di kampung juga mempunyai enam anak hasil daripada perkahwinan sebelum ini.
Sumber: Buletin TV3