Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Isu kebocoran maklumat pertahanan kini mendapat perhatian serius apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak sesekali akan bertolak ansur dalam soal keselamatan negara. Beliau menyifatkan tindakan menjual rahsia negara untuk kepentingan peribadi sebagai pengkhianatan besar yang boleh membawa malapetaka.
Menurut Anwar, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini diberikan laluan penuh menyiasat kes-kes berprofil tinggi, termasuk dakwaan salah guna kuasa dalam agensi risikan.
“Kalau ada kartel ambil keuntungan dan jual rahsia, ini soal besar dalam negara… kita tidak akan berselindung,” tegasnya di Dewan Rakyat ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri.
Baca juga:
- JAWI bantah penganjuran pesta air di Kuala Lumpur
- GSF 2.0 dipintas: SNCC sahkan 10 rakyat Malaysia ditahan
- Kanak-kanak jatuh longkang ditemukan, 10 km dari lokasi kejadian
Siasatan sejak 2020 baru terbongkar
Kes kebocoran maklumat ini bukan perkara baharu. Anwar menjelaskan, siasatan awal sebenarnya telah dimulakan sejak tahun 2020, namun hanya berjaya dibongkar selepas SPRM diberi kuasa penuh di bawah pentadbiran kini.
Pada 14 Ogos lalu, seramai 10 individu termasuk lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan dua wartawan sebuah portal ditahan reman kerana dipercayai terbabit sindiket penyeludupan di selatan tanah air. Perkara itu turut dibangkitkan di Parlimen oleh Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang meminta penjelasan kerajaan berhubung siri insiden keselamatan negara.
Tiada siapa terkecuali daripada tindakan
Mengulas lanjut, Anwar menolak dakwaan bahawa kerajaan hari ini harus dipersalahkan. Katanya, kelemahan lalu tidak boleh dijadikan alasan untuk menutup kes yang besar.
“Hal kes-kes lama tertangguh, yang orang boleh kumpul bilion-bilion… kadang-kadang Yang Berhormat pertahan pula. Tetapi bila ada kes besar, janganlah pertahan. Ini bukan perkara ringan,” ujarnya.
Beliau menegaskan, tiada sesiapa akan dilindungi jika terbukti bersalah, sama ada kes melibatkan anak bekas Menteri Ekonomi, pelajar Tingkatan Satu Allahyarham Zara Qairina Mahathir atau skandal rasuah berprofil tinggi di Sabah.
Sumber: Bernama








