Kritikan SST tak jadi masalah, asalkan berfakta bukan fitnah - PM | The Reporter

Kritikan SST tak jadi masalah, asalkan berfakta bukan fitnah – PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri majlis perhimpunan bulanan di Putrajaya
Anwar menegaskan kerajaan sedia menerima kritikan terhadap SST selagi ia berdasarkan fakta, bukan fitnah. | Kredit gambar: Facebook Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


• Perdana Menteri gesa kritikan SST disertakan fakta, bukan hanya dakwaan tular
• SST buah import untuk galakkan hasil tempatan, tapi kerajaan sedia pertimbang pengecualian
• Nilai ambang SST PKS dinaikkan bagi meringankan beban usahawan

Kerajaan bersedia menerima teguran dan kritikan terhadap peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), namun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan ia perlu dibina atas asas fakta yang sahih, bukan sekadar tuduhan atau andaian.

“Yang dibangkitkan mengenai SST, saya lihat ada beberapa mahasiswa, mengeluh katanya kadar elektrik naik, saya tak faham, tapi apakah benar dia terkesan, umpamanya jika ada universiti mengenakan kadar elektrik bagi mahasiswa, kalau benar, itu kita harus betulkan, yang saya tahu universiti awam dikecualikan.

“Jadi hal-hal ini umpamanya disebar kerana kebebasan itu jadi ruang fitnah, ruang maki hamun dan saya harap saudara saudari, adik-adik kita atau anak-anak kita tolong berikan fakta, saya tidak ada masalah orang menegur dan mengkritik,” katanya.

Beliau menegaskan, kerajaan sentiasa terbuka membuat semakan semula sekiranya terdapat pelaksanaan dasar yang benar-benar membebankan rakyat. Sebagai contoh, langkah menaikkan nilai ambang kelayakan SST untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dibuat selepas menerima maklum balas pemain industri.

“Sama seperti permintaan daripada pemain industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) supaya nilai ambang kelayakan SST dinaikkan. Jadi kita naikkan (daripada RM500,000) kepada RM1 juta, seperti yang diumumkan (sebelum ini). Ini menunjukkan kerajaan mendengar dan bertindak berdasarkan keperluan semasa,” katanya.

Beliau turut menegaskan tujuan peluasan SST termasuk cukai terhadap buah-buahan import bukan untuk menambah beban rakyat, sebaliknya bagi menggalakkan hasil pertanian tempatan yang mempunyai potensi besar.

“Jika sesebuah negara tak ada cukai langsung, tak mungkin dapat bina sekolah, gaji penjawat awam pun sudah dinaikkan sebab cukai tak ada. Jadi cukai ini kalau boleh jangan bebankan rakyat terbanyak dan sebab itu kadar elektrik yang diputuskan oleh Jemaah Menteri, harus elak daripada membebankan rakyat tapi andai kata ada satu dua yang terkena, boleh kita baiki,” ujarnya.

Anwar turut memberi jaminan sebarang keputusan fiskal yang dibuat kerajaan berpandukan pertimbangan teliti dan keperluan semasa, termasuk memastikan kebajikan golongan berpendapatan rendah dan sederhana terus terpelihara.

Sumber: Harian Metro

Related Posts