Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kerajaan tidak bercadang untuk memansuhkan tol lebuh raya, sebaliknya mencadangkan kadar diturunkan apabila syarikat konsesi mencapai pulangan pelaburan (ROI), kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau menjelaskan, langkah memansuhkan tol memerlukan peruntukan berbilion ringgit untuk kerja penyelenggaraan yang akhirnya membebankan dana kerajaan, sedangkan peruntukan itu boleh disalurkan kepada negeri-negeri yang kurang menggunakan lebuh raya bertol seperti Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak.
“Untuk tujuan ini memerlukan dana yang besar (dan) berbilion ringgit, kita boleh bayangkan dana kerajaan ini mungkin boleh digunakan untuk tujuan lain,” katanya ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Baca juga:
- KPDN Kelantan siasat peniaga caj RM30 baiki kalkulator masuk air
- Pemandu e-hailing dihukum penjara sebulan, curi barangan keperluan harian
- Dihina dan dicemuh, anggota Bomba Sandakan kongsi situasi sebenar
Janji PH dan cadangan lebih realistik
Alexander berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN–Besut) yang membangkitkan janji Pakatan Harapan (PH) untuk menghapuskan tol dalam manifesto pilihan raya lalu.
Katanya, penghapusan tol bukan satu keperluan sekiranya syarikat konsesi telah memperoleh ROI dan kerajaan boleh menilai untuk mengurangkan kadar tol secara berperingkat.
“Kalau syarikat ini sudah mencapai keuntungan atau pulangan pelaburan (ROI) mereka, bolehlah kadar tol yang dikatakan membebankan sekarang, diturunkan. Itu lebih praktikal dan realistik.”
Tambah beliau, langkah mengekalkan tol dan menilai penurunan kadar lebih wajar demi manfaat seluruh negara termasuk kawasan yang tidak menikmati infrastruktur lebuh raya bertol.
Sumber: Harian Metro








