Kerajaan cari jalan siapkan baki projek Lebuhraya MEX2 | The Reporter

Kerajaan cari jalan siapkan baki projek Lebuhraya MEX2

Pemandangan udara kawasan pembinaan terbengkalai Lebuhraya MEX2 di tengah kawasan bandar dengan bangunan tinggi dan jalan utama di sekitarnya.
emandangan udara menunjukkan jajaran projek Lebuhraya MEX2 yang masih belum disiapkan, dirakam di tengah kawasan pembangunan pesat. | Kredit gambar: Fawwaz Media

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Lebuhraya MEX2 yang sepatutnya menjadi laluan pantas dari Putrajaya ke pusat bandar masih belum menemui garisan penamat walaupun pembinaannya bermula lebih sedekad lalu.

Kini, Agensi Pusat berada di fasa akhir rundingan dengan pihak Penerima dan Pengurus (R&M) yang dilantik pemegang Sukuk untuk mencari jalan keluar menyiapkan baki projek itu. Rundingan ini susulan notis kemungkiran yang dikeluarkan pemegang Sukuk terhadap syarikat konsesi pada Januari 2022, sekali gus mencetuskan krisis kewangan yang menambah kelewatan projek penswastaan ini.

Kos, trafik dan kadar tol jadi pertaruhan

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexandar Nanta Linggi, berkata perbincangan tertumpu kepada penentuan kos pembinaan, aliran tunai, analisis trafik dan kadar tol bagi memastikan lebuh raya kekal berdaya maju serta meyakinkan pelabur Sukuk bahawa projek ini masih boleh diselamatkan.

Beliau menegaskan, MEX2 dibiayai sepenuhnya pihak swasta melalui model Bina-Kendali-Pindah (BOT) tanpa dana kerajaan. Semua kemajuan kerja dan tuntutan bayaran disemak juru perunding pengawasan serta juru perunding bebas sebelum diserahkan kepada pemegang Sukuk.

“Segala obligasi konsesi kini di bawah pihak R&M yang dilantik pemegang Sukuk untuk menyelesaikan isu kewangan dan menyiapkan baki pembinaan,” katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.

Baca juga:

RM416 juta: Soalan yang tidak terjawab

Ahli Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khirudin (PN) sebelum ini membangkitkan dakwaan tuntutan palsu bernilai RM416 juta oleh pemaju, isu yang menurutnya memberi kesan negatif kepada rakyat dan kerajaan.

Namun, Nanta menegaskan kementeriannya tidak mengetahui perkara itu kerana ia melibatkan pembiayaan swasta sepenuhnya.

“Sebarang kelulusan bayaran pendahuluan atau bayaran kemajuan tidak melalui sebarang proses membabitkan kerajaan,” katanya.

Jawapan itu walaupun selari dengan prosedur, meninggalkan tanda tanya. Jika benar ada tuntutan palsu, siapa yang akan menyiasat dan melindungi kepentingan pelabur Sukuk?

Risiko projek swasta, beban pada pengguna

Kelewatan MEX2 sekali lagi mengundang persoalan tentang keberkesanan model pembiayaan BOT di Malaysia. Tanpa campur tangan kerajaan, risiko kewangan sepenuhnya ditanggung pelabur dan konsesi.

Namun, jika kos meningkat, ia berpotensi diterjemahkan kepada kadar tol yang lebih tinggi kepada pengguna pada masa depan. Projek ini yang diharapkan dapat mengurangkan kesesakan di laluan utama ke Kuala Lumpur, kini menjadi ujian kepada keyakinan pelabur terhadap projek infrastruktur swasta.

Sumber: Berita Harian

Related Posts