Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan caj kesesakan di Kuala Lumpur yang dijangka dapat mengurangkan kesesakan trafik sehingga 20 peratus. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa, menjelaskan kajian ini dilakukan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Malaysia Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC).
Kajian ini merangkumi beberapa aspek, termasuk cara pelaksanaan caj kesesakan, anggaran pengurangan trafik, dan potensi peningkatan penggunaan pengangkutan awam.
“Pengalaman di bandar seperti London dan Stockholm menunjukkan bahawa caj kesesakan boleh mengurangkan trafik antara 20 hingga 30 peratus. Di New York dan Singapura, kesannya adalah penurunan trafik sekitar 10 hingga 15 peratus.”
Tujuan Kurangkan Trafik Tanpa Bebankan Pengguna
Dr. Zaliha menekankan bahawa kadar caj kesesakan perlu ditetapkan pada nilai yang mampu mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian tanpa membebankan rakyat.
“Kerajaan tidak mahu caj ini menjadi beban kepada pengguna jika kadar yang dikenakan terlalu tinggi,” katanya.
Kerugian RM20 Bilion setahun akibat kesesakan
Menurut kajian Prasarana Malaysia Bhd. pada tahun 2020, negara mengalami kerugian sebanyak RM20 bilion setahun akibat kesesakan jalan raya. Setiap satu peratus pengurangan kesesakan di kawasan tumpuan seperti Bukit Bintang, Lembah Pantai, Setiawangsa, dan Wangsa Maju boleh menjimatkan sekitar RM200 juta.
Buat masa ini, ramai pengguna jalan raya lebih memilih kenderaan persendirian kerana kekurangan kemudahan ‘first mile’ dan ‘last mile’ dalam sistem pengangkutan awam. Oleh itu, pelaksanaan caj kesesakan hanya akan dilaksanakan apabila jaringan pengangkutan awam di Kuala Lumpur dipertingkatkan.
Kesan ekonomi dan pengecualian sektor tertentu
Sekiranya caj kesesakan dilaksanakan, ia mungkin memberi kesan kepada ekonomi dalam tempoh dua hingga tiga tahun pertama. Namun, kesan ini dijangka pulih dalam jangka masa panjang dan memberi manfaat kepada peniaga kecil dengan meningkatkan kebolehcapaian kawasan perniagaan serta galakan aktiviti berjalan kaki.
Kerajaan juga sedang mempertimbangkan pengecualian caj bagi sektor tertentu seperti logistik, e-hailing, dan sektor pelancongan. Contohnya, kenderaan logistik mungkin dikecualikan caj di luar waktu puncak, manakala bas dan van pelancong berkemungkinan mendapat diskaun.
Fokus tingkatkan pengangkutan awam
Dr. Zaliha menegaskan caj kesesakan hanya akan dilaksanakan selepas sistem pengangkutan awam yang lebih lengkap diwujudkan. Ini selaras dengan Pelan Induk Trafik Kuala Lumpur 2040 yang bertujuan mengurangkan kesesakan trafik, terutama di kawasan Pusat Daerah Perniagaan (CBD).
“Tujuan utama caj ini bukan untuk membebankan rakyat tetapi untuk menjadikan Kuala Lumpur bandar yang lebih lancar dan efisien,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia, Berita Harian