Kenderaan yang ditampal dengan sticker lucah, patut dikenakan tindakan undang-undang - The Reporter

Kenderaan yang ditampal dengan sticker lucah, patut dikenakan tindakan undang-undang

Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.


Pelekat atau stiker yang dilekatkan di cermin belakang atau bonet kereta bukanlah sesuatu yang asing di kalangan pemilik kenderaan di Malaysia. Ada yang menggunakan pelekat untuk menyatakan sokongan kepada parti politik, pasukan bola sepak, produk kegemaran, atau pesanan motivasi.

Namun, ada juga yang menyalahgunakan pelekat sebagai medium untuk menyebarkan unsur lucah, mengaibkan, atau menyinggung golongan tertentu.

Pelekat hina maruah wanita

Baru-baru ini, tular beberapa gambar di media sosial yang menunjukkan pemandu lori menampal pelekat berunsur lucah dan mendapat kecaman hebat daripada netizen.

Antara pelekat yang ditampal adalah, “Hati-hati di jalan. Lubang di jalan tak seindah lubang di rumah”, dan “Jangan Sekali MARAH Suami DI RUMAH Kerana Di Luar Banyak JANDA yang Tersenyum Padanya”. Penggunaan pelekat-pelekat seperti ini jelas menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab, tidak beradab, dan tidak bermoral pemilik kenderaan tersebut.

Perbuatan itu bukan sahaja mencemarkan imej pemilik kenderaan itu sendiri. Tetapi juga menghina maruah wanita, terutamanya golongan janda yang sering menjadi mangsa ejekan dan stereotaip negatif.

Ini termasuk juga memberi kesan buruk kepada kanak-kanak atau remaja yang melihatnya, kerana ia boleh merosakkan akhlak dan pemikiran mereka.

Selain itu, ia juga menimbulkan rasa tidak selesa, marah, atau mengguris perasaan orang ramai yang melihatnya. Terutamanya mereka yang beragama Islam yang mengharamkan sebarang bentuk zina mata atau zina hati.

Pihak berkuasa wajar ambil tindakan

Mana-mana pemilik kenderaan yang berbuat demikian patut dikenakan tindakan undang-undang. Penggunaan pelekat tidak senonoh seerti itu boleh dianggap sebagai satu bentuk penghasutan, penghinaan, atau penganiayaan kepada orang awam.

Pihak berkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Jabatan Agama Islam perlu bekerjasama untuk mengambil tindakan terhadap pemilik kenderaan, penjual pelekat lucah. Mereka perlu idakwa kerana menyumbang kepada penyebaran unsur lucah di ruang awam.

Isu ini adalah satu isu sosial yang perlu ditangani dengan serius dan segera. Jika dibiarkan berleluasa, ia hanya akan mencerminkan tahap pemikiran dan akhlak masyarakat yang rendah. Sekali gus boleh merosakkan nilai-nilai murni dan harmoni. Termasuk menjejaskan imej negara yang berbilang kaum dan agama, dan menjejaskan usaha untuk mencapai status negara maju.

Oleh itu orang ramai perlu sedar bahawa, penggunaan pelekat lucah di kenderaan persendirian bukanlah satu benda yang boleh dianggap sebagai gurauan atau lawak, tetapi satu penghinaan dan penghinaan kepada masyarakat.

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Copyright reserved!