Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kenderaan asing kini hanya dibenarkan mengisi minyak diesel tidak melebihi 20 liter di stesen minyak yang terletak dalam radius 30 kilometer dari sempadan Brunei atau Indonesia di Sabah dan Sarawak.
Peraturan ini diumumkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, sebagai langkah untuk mengelakkan kekeliruan dan memastikan subsidi minyak hanya dinikmati oleh rakyat tempatan.
Menurut Datuk Armizan, selepas radius 30 kilometer tersebut, warganegara asing boleh membeli diesel dalam kuantiti yang diperlukan dengan syarat pengisian hanya dilakukan ke dalam tangki kenderaan mereka. Peraturan ini adalah berdasarkan Arahan Pengawal Bekalan di bawah Peraturan 12A, Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang berkuat kuasa sejak 17 Jun 2022.
Beliau menjelaskan, terdapat kekeliruan di beberapa stesen minyak mengenai larangan jualan diesel kepada kenderaan asing, yang menyebabkan kebimbangan di kalangan pengusaha stesen minyak.
“Kita mahu melindungi hak rakyat kita untuk subsidi terbabit, tetapi pada masa yang sama kita prihatin terhadap kedatangan pelancong ke Sabah dan Sarawak yang penting untuk ekonomi setempat,” katanya.
Datuk Armizan turut mengulas mengenai isu yang tular di media sosial berkaitan konvoi kenderaan pelancong dari Brunei yang menghadapi kesukaran mengisi diesel semasa menyertai acara ‘off-road’ di Sarawak.
Beliau menegaskan, had pengisian 20 liter diesel juga terpakai kepada stesen minyak di Semenanjung Malaysia yang terletak dalam radius 50 kilometer dari sempadan Thailand dan Singapura.
Selain itu, kenderaan asing tidak dibenarkan mengisi minyak petrol RON95 bersubsidi yang disediakan untuk rakyat Malaysia. Warganegara asing hanya dibenarkan membeli petrol RON97 untuk kenderaan mereka.
Sumber: Bernama