Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Jumlah keseluruhan penjawat awam di Malaysia kini mencecah 1.3 juta orang, tidak termasuk anggota polis dan tentera. Angka ini diperoleh berdasarkan data daripada Sistem HRMIS setakat 24 September 2025.
Jika digabungkan dengan kira-kira 350,000 anggota keselamatan termasuk polis dan tentera, jumlah keseluruhan mereka yang berkhidmat di sektor awam negara dianggarkan melebihi 1.6 juta orang.
Menariknya, data yang dikemukakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa di Parlimen mendedahkan bahawa pendidik membentuk majoriti terbesar dalam kalangan penjawat awam.
Daripada keseluruhan 1,305,976 penjawat awam, Kementerian Pendidikan menempatkan 511,345 orang (39.15%), menjadikannya kementerian dengan jumlah kakitangan paling ramai.
“Kementerian Kesihatan berada di tempat kedua dengan 267,149 orang (20.45%), melibatkan pelbagai kategori termasuk doktor, jururawat, pegawai farmasi dan kakitangan sokongan.
“Kementerian Pendidikan Tinggi pula di tempat ketiga dengan 104,838 orang (8.03%),” jelas kenyataan itu.
Baki penjawat awam lain berkhidmat di pelbagai kementerian termasuk Kementerian Dalam Negeri (4.6%), Jabatan Perdana Menteri (3.34%), dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (1.91%), manakala kementerian terkecil ialah Kementerian Digital, dengan hanya 852 orang (0.06%).
Baca juga:
- 45 pelajar cemerlang ditolak universiti Korea Selatan kerana rekod buli
- ‘Inspektor Sheila’ disiasat dakwa pertikai tindakan polis tahan warga Pakistan tiada lesen
- Kelantan dominasi sektor awam negara
Kelantan negeri asal paling ramai penjawat awam
Data tersebut juga menunjukkan bahawa penjawat awam yang berasal dari Kelantan merupakan kumpulan terbesar yang berkhidmat dalam perkhidmatan kerajaan.
Rekod menunjukkan Kelantan menduduki tempat pertama dengan 170,383 orang (13%), diikuti Perak sebanyak 140,160 orang (11%), dan Johor dengan 132,032 orang (10%).
Kedudukan ini memperlihatkan tumpuan besar tenaga kerja awam negara masih disumbangkan oleh sektor pendidikan dan kesihatan yang merupakan dua bidang utama yang menjadi tulang belakang pembangunan sosial dan kesejahteraan rakyat.










