Menteri akui kekhilafan dalam pelantikan 'tauke vape' sebagai ahli lembaga hospital | The Reporter

Menteri akui kekhilafan dalam pelantikan ‘tauke vape’ sebagai ahli lembaga hospital

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad bersama Adzwan Ab Manas berkait isu pelantikan ahli lembaga hospital
Dzulkefly Ahmad mengakui wujud kekhilafan dalam pelantikan Adzwan Ab Manas, pengusaha vape, sebagai ahli lembaga pelawat hospital

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad, tampil menjelaskan isu pelantikan seorang tokoh perniagaan vape sebagai ahli lembaga pelawat Hospital Rembau yang mencetuskan pertikaian ramai.

Beliau mengakui wujud kekhilafan dalam proses tapisan, walaupun lebih 2,800 pencalonan telah dinilai dari pelbagai pihak termasuk hospital, exco negeri dan pemimpin masyarakat.

Baca lagi berita berkaitan: Firdaus Wong persoal pelantikan ‘tauke vape’ Ahli Lembaga Pelawat Hospital Rembau

Menurut Dzulkefly, kelemahan dalam saringan menyebabkan individu berkepentingan dalam industri rokok elektronik dilantik, sekali gus bercanggah dengan dasar kesihatan yang sedang dipertahankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Individu tersebut kini tidak lagi memegang jawatan itu. Saya sedar kelemahan ini menjejaskan persepsi awam terhadap kementerian,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimana pelantikan ini berlaku?

Isu tercetus selepas Presiden Persatuan Peruncit Peranti dan Cecair Rokok Elektronik (MRECA), Adzwan Ab Manas, berkongsi surat lantikan yang ditandatangani Dzulkefly sendiri pada 23 Jun lalu. Tindakan itu mengundang kritikan kerana peranan lembaga pelawat berkait rapat dengan usaha memperkukuh kesihatan masyarakat, sedangkan Adzwan terlibat secara langsung dalam industri vape.

Susulan tekanan pelbagai pihak, Adzwan memilih berundur bagi mengelakkan lebih banyak salah faham.

“Saya sedar pembabitan saya mungkin menimbulkan pandangan negatif. Ini bukan salah Menteri Kesihatan, sebaliknya kelemahan saya sendiri,” katanya melalui hantaran di Facebook.

Sebagai langkah pembetulan, Dzulkefly menegaskan proses pelantikan ahli lembaga pelawat hospital akan diperhalusi semula, termasuk menetapkan syarat kelayakan yang lebih ketat supaya seiring dengan misi KKM memelihara integriti dan prinsip kesihatan awam.

Sumber: Free Malaysia Today

Related Posts