Seorang wanita berkongsi di laman Twitter yang mendakwa seorang lelaki yang dipercayai gila seks telah merakam videonya dari atas hingga bawah badan tanpa kebenarannya, semasa berada di dalam tren Mass Rapid Transit (MRT).
“Siapa yang selalu naik MRT tu berhati-hati dengan lelaki ini. Main record orang sesuka hati. Dari atas sampai bawah pula tu. Saya baru nak naik MRT selepas beberapa bulan tak naik. Bad mood terus eh, tahu pula dia cuak selepas kena jerit.
“Saya perasan dia masuk, kemudian dia menghalakan phone ke arah saya dan saya pada masa itu tak ada bersangka buruk.
“Tetapi selepas beberapa minit, dia duduk betul-betul di depan saya dan kamera phone masih dihala ke arah saya. Saya terus buka pelitup muka dan menjerit.
“Kau record apa?! Kau delete sekarang! Aku panggil polis kang! Dia terus mengelabah. Terus dia tekan-tekan (main) phone yang mana saya percaya dia terus padamkan video.
“Saya jerit lagi, kau nak aku panggil polis ke apa?! Dia jawab, dia tak record video. Memanglah tak ada video sebab saya dah jerit suruh dia padamkan,” katanya.
Di media sosial, netizen turut berkongsi yang mereka pernah mengalami situasi yang sama. Orang ramai dinasihatkan sentiasa berhati-hati dan segera mendapatkan bantuan sekiranya berdepan dengan kejadian seumpama itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin menggesa pengadu untuk tampil membuat laporan polis agar pihaknya dapat melakukan siasatan.
“Sehingga kini pihak polis masih belum menerima laporan polis berhubung kejadian ini. Individu terbabit diminta tampil membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan,” katanya.
Sumber: YM Che Puan Aish, Harian Metro