'Kau benci sangat ke dengan anak aku?! - Ibu terkejut anak didera pengasuh, video CCTV tunjuk mangsa dipukul, ditarik rambut, ditampar guna pembaris - The Reporter

‘Kau benci sangat ke dengan anak aku?! – Ibu terkejut anak didera pengasuh, video CCTV tunjuk mangsa dipukul, ditarik rambut, ditampar guna pembaris

Sumber gambar: Video tular di media sosial

Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun menjadi mangsa dera pengasuh yang tidak menggemarinya, sehingga meninggalkan kesan-kesan lebam dan luka di badan.

Perkara itu disedari oleh ibunya selepas menemui kesan-kesan kecederaan di badan anaknya. Dan dalam kejadian terbaru, mangsa didapati mengalami kecederaan di bahagian kepala.

Hal itu mengundang rasa tidak puas hati ibu bapa mangsa yang kemudian meminta untuk memeriksa video rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Alangkah terkejutnya apabila mereka mendapati mangsa dipukul, ditendang, ditarik rambut dan mukanya dipukul menggunakan pembaris beberapa kali semasa waktu makan.

“Kesian betul anak saya. Uihh! Boleh tahan kau tarik rambut anak saya begitu! P###mak punya perempuan! Saya tidak pernah maki orang begini. Boleh tahan kau buat anak orang begitu!

“Kurang ajar betul bah dia ni! Kau benci sangat ka dengan anak saya?! Boleh tahan, patutlah selalu ada biru-biru (lebam) setiap kali balik.

“Kesian anak saya adui.. kesian betul. Betul-betul kesian. Adui kau tampar lagi muka dia. Kau pukul dia guna pembaris, boleh tahan. Saya tidak pernah pukul kepala anak saya begini,” kata si ibu.

Bapa mangsa berkata, dia tidak sanggup melihat video tersebut kerana sedih melihat anaknya diperlakukan sedemikian oleh pengasuh berkenaan.

‘Lebam? Itu perkara biasa, anak mungkin bergaduh dengan rakan’ – Pengasuh

Menurut bapa, anaknya sudah dua kali mengadu didera di taska tersebut sejak Mac lalu. Kali pertama disedari apabila isterinya mendapati ada kesan lebam di tangan anaknya sebaik saja diambil dari taska itu.

“Pada mulanya, anak saya kata dia dipukul oleh pengasuh. Namun mengubah mengatakan dipukul oleh rakannya. Tetapi seminggu kemudian, isteri mendapati ada kesan lebam lain di bahagian dada anak sebelum kami bertanya kepada pihak taska.

“Pihak taska hanya memberi jawapan bahawa itu perkara biasa kerana kemungkinan anak kami bergaduh dengan rakan,” katanya.

Sumber gambar: Harian Metro

Dalam kejadian terbaru, isterinya terkejut apabila mendapati ada kesan luka di kepala anaknya, selepas menjemput mangsa pulang dari taska.

Ditanya pada pihak taska, tiada sebarang jawapan diterima, lalu meminta untuk memeriksa rakaman CCTV yang kemudian menunjukkan anaknya didera oleh pengasuh.

Ekoran kejadian itu, ibu bapa mangsa telah membuat laporan polis di Balai Tanjung Aru untuk tindakan lanjut. Mangsa juga telah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth untuk menjalani pemeriksaan.

Anak kerap pulang dengan kesan luka, benjol & lebam di badan

Sementara itu, seorang wanita yang dikenali sebagai Kistell mendakwa pernah menghantar anaknya ke taska yang sama turut mendedahkan anaknya pernah menjadi mangsa pengasuh yang sama.

Melalui hantarannya di Facebook, Kistell berkata, anaknya ketika itu berusia empat tahun dan kerap kali pulang dengan kesan-kesan luka, benjol dan lebam di badan.

Apabila ditanya pada pihak taska, mereka menjawab, “Biasalah mami, budak-budak bermain, budak-budak terhantuk, berlari-lari terjatuh”

“Kesilapan saya pada ketika itu tidak meminta memeriksa rakaman CCTV. Saya fikir, sebab anak saya lelaki, mungkin dia nakal.

“Anak saya pernah beritahu, “Mami, tadi Teacher Melona marah saya, pukul saya”. Tapi saya fikir mungkin anak saya yang buat salah,” katanya.

Dalam tahun yang sama, Kistell mendapati pembelajaran anaknya tidak berkembang dan kelakuannya turut berubah menjadi lebih teruk, termasuk dari segi pertuturan.

“Saya pindahkan anak saya sebab perasan anak saya tak ada perkembangan pelajaran dan perangai dia tidak bagus, pandai middle finger, cakap bad words, kalau marah teriak-teriak, memukul.

“Jadi saya pindahkan anak saya ke tadika lain dan syukur anak saya banyak berubah di tempat baru,” ujarnya.

Sumber: Harian Metro, Facebook Kistell, Sinar Harian

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!