'Karipap Sampah! Memang semua inti berkulat + bau sampah!' - Pembeli kecewa peniaga jual karipap berkulat di Bazar Ramadan Kuantan - The Reporter

‘Karipap Sampah! Memang semua inti berkulat + bau sampah!’ – Pembeli kecewa peniaga jual karipap berkulat di Bazar Ramadan Kuantan

Seperti Ramadan sebelumnya, pelbagai rungutan daripada pembeli mengenai mutu jualan di bazar-bazar Ramadan. Bukan sahaja harga makanan yang dijual mahal daripada sebelumnya, malahan ada peniaga yang mengambil kesempatan tidak menjaga kualiti makanan dengan baik.

Di Kuantan, seorang wanita tidak menyangka karipap yang dibelinya di bazar Ramadan berkulat. Dia mengecam tindakan peniaga yang tidak telus dalam menjual makanan kepada pembeli.

“Kepada peniaga-peniaga bazar Ramadhan, rasanya dah banyak kali viral pasal makanan-makanan yang tak elok. Tak sangka hari ni terkena pada saya juga. Hari ini saya ada beli dua paket karipap, tapi karipap yang dah berkulat,” katanya.

Pada mulanya, ibu dan kakaknya memberitahunya karipap itu berasa pahit dan bila mereka membuka inti karipap, mereka terkejut apabila mendapati inti karipap sudah berkulat.

“Mak dan kakak saya dah termakan, sekali gigit, kakak saya bagitahu karipap rasa pahit. Bila dibuka, terkejut tengok inti dah berkulat. Kulit karipap pun berminyak macam dah banyak kali goreng. Bila dibuka satu-satu karipapnya, memang semua inti berkulat, dengan pakej bau sampah!

“Seumur hidup saya ini makanan yang paling teruk yang pernah saya beli. Bukan setakat berlendir rasa masam atau basi, tapi ni dah sampai tahap berkulat, macam dah 3 ke 4 hari punya karipap yang tak habis tapi digoreng semula,” katanya.

Dia begitu kecewa dan terkilan dengan sikap penjual itu yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan kesan kesihatan kepada pembeli.

“Bayangkan kalau makanan sampah macam ni dimakan kanak-kanak atau ibu mengandung, berbaloi ke dengan untung jualan karipap tu menyebabkan oranng lain sengsara keracunan makanan? Nak menjual biarlah ikhlas dan bertanggungjawab.

“Di sini saya sertakan gambar-gambar close up setiap satu karipap berkulat tu, warga Kuantan boleh nilaikan sendiri macam mana. Saya memang bukan sejenis suka viral-viral kan, tapi bagi saya isu makanan berkulat dijual pada orang ni tahap melampau dan tak boleh diterima akal. 

“Esok saya akan datang sendiri berjumpa penjual kuih tersebut dan bawa karipap kulat ni untuk dia nilai sendiri tahap kualiti makanan yang dijual, harap akak jangan tutup gerai pulak ya,” tulisnya.

Rentetan isu ini, netizen menyelar tindakan peniaga yang tidak bertanggungjawab dan menyokong tindakan wanita ini yang akan berjumpa dengan peniaga itu sendiri.

Lokasi: Bazaar Ramadhan depan Tunas Manja Sungai Isap (gerai tengah-tengah sebelah gerai air balang)

Sumber: Emma Razali, Kelab Ibu cantik-MillGen

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!