Syarikat perkapalan yang berpangkal di Israel, ZIM, telah dilarang berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia, berkuat kuasa dengan serta-merta.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskankan bahawa, sekatan tersebut adalah respon terhadap tindakan Israel yang mengetepikan prinsip-prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa melalui pembunuhan dan kekejaman yang berterusan terhadap rakyat Palestin.
“Kementerian Pengangkutan akan mengambil tindakan segera dengan mengenakan sekatan kekal ke atas syarikat ini serta-merta,” kata Anwar dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada tahun 2002, Kabinet mula membenarkan kapal dari syarikat tersebut berlabuh di Malaysia. Pada tahun 2005, kebenaran untuk mendarat juga diberikan.
Anwar berkata, kerajaan hari ini membatalkan semua keputusan Kabinet yang sebelumnya.
“Pada masa yang sama, kerajaan Malaysia juga telah memutuskan untuk tidak lagi menerima kapal yang menggunakan bendera Israel untuk berlabuh di negara ini,” katanya.
Tambah beliau, larangan tersebut juga dikenakan ke atas mana-mana kapal yang sedang dalam perjalanan ke Israel dari memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia.
“Kedua-dua sekatan ini berkuat kuasa serta-merta,” katanya sambil menambah keputusan itu tidak akan menjejaskan aktiviti perdagangan Malaysia.
Sumber: Sinar Harian








