Kantoi hisap vape dalam kelas, Pelajar Tingkatan 5 cedera teruk di mata kanan akibat dirotan guru disiplin, bapa buat laporan polis - The Reporter

Kantoi hisap vape dalam kelas, Pelajar Tingkatan 5 cedera teruk di mata kanan akibat dirotan guru disiplin, bapa buat laporan polis

Sumber gambar: Malaysia Gazette, Malinda Abdul Malik

Seorang bapa tidak menyangka anak lelakinya berusia 17 tahun dirotan oleh guru sehingga mengalami kecederaan teruk di bahagian mata kanan.

Mazni Mohamad, 47, mendakwa mata kanan anaknya mengalami pendarahan dan lebam akibat dirotan oleh guru sebuah sekolah menengah di Sungai Ara, Pulau Pinang.

Difahamkan, pelajar tingkatan lima itu dirotan oleh pembantu guru disiplin selepas didapati menghisap rokok elektronik di dalam kelas. Kejadian dikatakan berlaku pada jam 12.30 tengah hari semasa gurunya sedang mengajar subjek Sains.

Menurut pemandu lori itu, anaknya terpaksa dibawa ke Hospital Balik Pulau untuk mendapatkan rawatan.

“Saya tahu anak saya buas, tapi bukan begini cara untuk memberi pengajaran. Nasib baik dia tak buta.

“Anak saya dibawa kepada seorang ustaz yang dikatakan pembantu guru disiplin untuk tindakan lanjut. Anak saya disoal siasat sebelum guru disiplin berkenaan mendakwa dia menipu dan bertindak merotannya.

“Rotan itu terkena pada bahagian mata kanan, menyebabkan dia mengalami pendarahan,” katanya memetik laporan daripada Malaysia Gazette, Khamis, 14 September 2023.

Mangsa mengadu mengalami kesakitan di bahagian mata, terus dibawa oleh pihak sekolah ke sebuah klinik sebelum dirujuk ke Hospital Balik Pulau untuk mendapatkan rawatan.

Ekoran ketiadaan pakar mata di hospital tersebut, mangsa akan dirujuk ke Hospital Pulau Pinang.

Mangsa kini dilaporkan stabil, namun masih perlu dipantau dalam tempoh lima hari sebelum rawatan susulan diberikan.

Ibu bapa mangsa telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan akan berjumpa dengan pihak sekolah untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Sumber: Malaysia Gazette (Malinda Abdul Malik)

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!