Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera di bahagian leher selepas dipercayai dikelar dengan senjata tajam ketika sedang tidur di rumahnya di sebuah kampung di Parit Raja, Johor, pagi Isnin.
Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, kejadian disedari ibu mangsa yang berusia 40 tahun selepas terjaga daripada tidur sekitar jam 9 pagi dan mendapati anak bongsunya berlumuran darah.
Mangsa merupakan anak bongsu daripada tiga beradik, namun bernasib baik apabila tiada saluran darah utama terputus. Dia kini dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) dan dilaporkan stabil.
Baca juga:
- Shell Beseri mohon ‘Misai’ dipulangkan, masih dalam rawatan FIP
- Kanak-kanak cedera dikelar ketika tidur, polis siasat motif kejadian
- Dr MAZA kecewa sambutan meriah terhadap Trump
Polis siasat motif, ingatkan orang ramai jangan sebar gambar mangsa
Shahrulanuar berkata, siasatan masih di peringkat awal bagi mengenal pasti motif kejadian, dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah menggunakan senjata berbahaya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak menularkan maklumat tidak sahih atau gambar mangsa di media sosial kerana perbuatan itu boleh menjejaskan siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2002.
Mangsa kini berada di bawah pemantauan rapi pihak hospital sementara polis meneruskan siasatan lanjut terhadap kejadian yang mengejutkan penduduk setempat itu.
Sumber: mStar Online









