Sebelum ini, pelakon Izreen Azminda Aznam, 33, mengeluarkan kenyataan beliau telah memaafkan individu atau pihak yang sering menghinanya di media sosial.
Dalam pada itu, Izreen juga mengaku dia puas menangis berbulan-bulan disebabkan kontroversi tersebut sehingga dilabelkan sebagai perampas suami orang. Namun, Izreen berkata, dia kini lebih tenang selepas memaafkan semua pihak berkenaan.
Memetik laporan dari Berita Harian semalam, Izreen berkata perkara itu adalah ujian yang paling berat diterimanya selama lebih 12 tahun bergelar sebagai anak seni.
Izreen yang pernah memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dalam Anugerah Skrin TV3 2013 itu mengaku kontroversi itu hampir membuatkan dia ‘menyembah bumi’ dan netizen tidak berhenti membencinya biarpun suaminya, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude, 30, telah menceraikan isteri pertamanya.
Mac lalu, Ude telah menceraikan isteri pertamanya, Intan Liana Saleh kerana tidak lagi mempunyai persefahaman. Ude sebelum itu berkahwin dengan Izreen tanpa pengetahuan Intan yang hanya mengetahui perkara itu dari media.
“Mungkin ini semua kifarah hidup. Kun faya kun, jadi. Maka jadilah ia. Saya, suami dan pihak (Intan) di sana mungkin pernah melakukan kesilapan. Jadi kami ditimpa dengan ujian hidup.
“Jujurnya, saya terlalu sibuk bekerja sepanjang lebih satu dekad. Adakala saya alpa dan lalai dengan perintah Tuhan. Allah pemberi rezeki dan Dia boleh merentapnya sekelip mata.
“Allah menjentik saya supaya kembali mengingati dan mendekatkan diri dengan-Nya. Mulanya, saya berat menerima ujian ini tetapi saya harus reda.
“Begitu juga pihak di sana, Allah menarik suaminya tetapi memberikannya dengan rezeki melimpah ruah. Itu yang diinginkan selama ini, Allah menunaikannya.
“Kami sudah menerima bahagian masing-masing. Allah Maha Adil,” katanya yang juga mengaku rezeki terjejas berikutan kontroversi itu.
Bagaimanapun, Izreen bersyukur kerana masih ada jalan lain untuknya mencari rezeki bagi menanggung perbelanjaan diri dan keluarga. Malah, Izreen percaya dia diberi ujian berat sebelum diberi kebahagiaan.