'Kalau Tompok nak pergi, pergilah' | The Reporter

‘Kalau Tompok nak pergi, pergilah’

Cikgu Din dan Tompok di pantai merenung senja.
Gambar: Facebook Din Besut Official.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang lelaki yang dikenali sebagai Din Besut atau mesra disapa Cikgu Din menerima perkhabaran sedih apabila anjing yang diberi nama Tompok, berada dalam keadaan kritikal akibat masalah buah pinggang.

Menerusi satu siaran langsung (live) di Facebook baru-baru ini, Cikgu Din yang kini menetap di Pahang memohon bantuan orang ramai dengan membeli madu jualannya bagi menampung kos tiket penerbangan ke Miri, Sarawak, untuk bertemu Tompok buat kali terakhir.

Dalam live tersebut, Cikgu Din turut menitipkan pesanan buat Tompok agar terus bertahan dan menantikan kehadirannya. Dia juga dilihat gagal menahan sebak sewaktu menyanyikan lagu-lagu kegemaran Tompok.

Semalam, Cikgu Din akhirnya berjaya bertemu Tompok meskipun haiwan kesayangannya itu sudah tidak bermaya.

Dia sempat berpesan kepada Tompok supaya tidak perlu menunggu jika tidak mampu lagi menanggung kesakitan.

“Kalau Tompok nak pergi, pergilah. Kalau rasa mampu bertahan, tahanlah. Atau Tompok ada tunggu siapa-siapa lagi,” katanya.

Dalam perbualan penuh kasih sayang itu, Cikgu Din turut mengimbas kenangan manis mereka bersama dan menyanyikan beberapa buah lagu untuk menenangkan Tompok. Seakan memahami, Tompok mengangkat kepala dan mengubah posisi tubuhnya.

Namun seperti kata pepatah, setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Cikgu Din memaklumkan bahawa Tompok telah menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.19 pagi tadi.

Berita itu bukan sahaja mengundang kesedihan buat Cikgu Din, malah turut dirasai oleh rakyat Malaysia yang mengikuti kisah mereka.

“Selamat berehat, sahabatku Tompok. Jiwamu akan hidup selama-lamanya di hati kami walaupun jasadmu telah kaku pada satu awal pagi yang suram,” tulis Cikgu Din.

Baca juga:

Satu gambar yang dimuat naik menerusi Facebook Cikgu Din turut menyentuh hati apabila kelihatan Tompok, semasa masih sihat, merenung ke arah matahari terbenam di tepi pantai. Rupa-rupanya, itu merupakan pesanan Cikgu Din sebelum ini agar Tompok memandang matahari jika merinduinya.

Sumber: FB Din Besut

Related Posts