'Kalau tak beli dekat sini, blah.. saya bayar sewa' - Lelaki kecewa, dakwa dihalau peniaga biadab di Bazar Prima Saujana - The Reporter

‘Kalau tak beli dekat sini, blah.. saya bayar sewa’ – Lelaki kecewa, dakwa dihalau peniaga biadab di Bazar Prima Saujana

Tindakan seorang peniaga bazar Ramadan ‘menghalau’ pelanggan yang beratur untuk membeli makanan dari gerai bersebelahannya, mengundang rasa kesal pengadu dan rakan-rakannya.

Menurut perkongsian pengadu di Twitter, kejadian itu berlaku pada petang Ahad lalu di Bazar Prima Saujana, Kajang.

Ketika itu, pengadu dan rakan-rakannya mahu membeli makanan dari gerai bersebelahan dengan peniaga terbabit. Tetapi di hadapan mereka, ada lapan pelanggan yang sedang beratur.

“Disebabkan kami tidak mahu menghalang laluan utama, kami beratur di hadapan gerainya. Paling-paling pun kami hanya ‘cover; gerai dia 10 peratus sahaja (bahagian air balang).

“Tetapi dia (peniaga itu) dengan biadabnya berkata kepada kawan saya, “Kalau tak beli dekat sini, blah. Saya sedang berniaga, saya bayar sewa”. Mendengar kata-katanya itu, kawan saya pun beralih.

“Kemudian dia juga memberitahu saya ayat yang sama. Saya balas, “Awak cuma bayar sewa untuk tapak niaga, bukannya bayar sekali untuk laluan di depan gerai. Jadi saya boleh berdiri di mana saja saya nak”. Dan pada masa itu pun, bukannya ada sesiapa yang sedang membeli makanannya.

“Selepas itu dia mengambil sebatang kayu (penghalau lalat) dan cuba memukul saya tetapi dihalang oleh suaminya. Dia menjerit ke arah saya. Saya kata kalau dia berani memukul saya, saya akan menghubungi polis.

“Dia ambil selipar/sampah (tak pasti) untuk dibaling pada saya, tetapi sekali lagi dihalang oleh suaminya,” kata pengadu.

Pengadu juga bertanya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) apakah perbuatan peniaga terbabit boleh dikategorikan sebarang satu perbuatan salah yang boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Dalam pada itu, pengadu meminta penduduk di sekitar Kajang dan Semenyih berhati-hati dengan peniaga berkenaan jika berkunjung ke bazar tersebut.

Sumber: Twitter Pengadu

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!