Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang penduduk Kampung Sungai Baru tampil menjelaskan pendirian majoriti pemilik hartanah di kawasan itu yang telah lama bersetuju dengan pembangunan semula, sekali gus menolak cubaan pihak tertentu yang didakwa cuba menggagalkan projek berkenaan.
Menurutnya, sebahagian besar pemilik telah menandatangani persetujuan sejak 2018 hingga 2019, dengan kira-kira 70 peratus daripada 329 pemilik bersetuju ketika itu.
“Saya orang ke-230 yang menandatangani. Memang saya tunggu dulu nak lihat keputusan majoriti. Bila majoriti setuju, saya ikut saja. Pemilik hartanah sini bukan biasa-biasa, ada dato’, peguam, jurutera dan kebanyakannya berpendidikan,” katanya.
Idea pembangunan bermula sejak 2016
Ishaq Marazi turut menjelaskan bahawa idea pembangunan semula Kampung Sungai Baru sudah tercetus sejak 2016 selepas melihat kejayaan projek Kerinchi Residence oleh pemaju sama.
“Masa itu zaman DS Najib Razak. Walaupun rumah saya jenis landed, saya tetap setuju sebab kesian tengok makcik pakcik duduk rumah flat uzur satu atau dua bilik. Dengan projek baharu, setiap pemilik akan dapat dua unit kondominium, satu boleh duduk, satu lagi boleh disewakan,” jelasnya.
Dia turut membuat perbandingan keuntungan jangka panjang, apabila unit kondominium baharu dijangka mampu memberi pulangan sewa RM2,000 hingga RM2,500 sebulan bagi sebuah studio.
“Kalau dua unit, pemilik boleh dapat RM4,000 hingga RM6,000 sebulan. Sedangkan rumah flat lama hanya boleh disewakan sekitar RM800 hingga RM1,200 saja,” tambahnya.
Baca juga:
- ‘Kalau ikhlas berjuang untuk Melayu, push pemaju siapkan cepat projek’ – Penduduk Kg Sungai Baru
- ‘Tindakan tegas terhadap provokasi ganggu operasi pengosongan Kampung Sungai Baru’ – Ketua Polis KL
- ‘Bukan semua yang hadir adalah penduduk asal, ramai orang luar buat kecoh’ – Syed Badli
Potensi pulangan lebih tinggi
Dalam pada itu, dia menegaskan bahawa lebih 70 peratus rumah dan flat di kawasan itu sudah pun dirobohkan, menjadikan usaha untuk membatalkan projek sebagai sesuatu yang mustahil.
“Kesian makcik pakcik yang sudah 4-5 tahun duduk rumah transit menunggu projek siap. Mustahil nak batalkan projek ini sebab rumah lama pun sudah tiada,” katanya lagi.
Desak pemaju siapkan projek
Dia turut mempersoalkan tindakan segelintir individu yang cuba menghasut penduduk supaya menolak pembangunan semula tersebut.
“Kalau betul nak perjuangkan orang Melayu, sepatutnya tolong desak pemaju siapkan projek cepat, bukan sabotaj. Yang penting sekarang, pastikan pemaju tunaikan janji dan penduduk betul-betul dapat manfaat,” tegasnya.