Gambar hiasan sahaja | Google Images |
Hari ini makan di luar. Breakfast roti saja sebab tak ada bahan mentah dalam peti ais, tambahan pula baru sampai dari hometown. Jadi, sekitar jam 12 tengah hari, berhenti makan (sekali harung breakfast dengan lunch).
Bawa dua orang budak itu faham-fahamlah bagaimana karenah mereka. Nak tapau balik makan di rumah, takut lambat pula. Kasihan budak-budak lapar sebab nanti nak singgah pergi market beli barang basah dan cari barang-barang yang lain. Mujur hari ini Aliss dan Balqis berkelakuan baik. Boleh makan dengan aman.
Selepas itu, datang seorang kakak dengan tiga orang anak lelakinya yang berusia lingkungan 5, 3 dan 1 tahun. Muka dia nampak stress gila, anaknya pula muka kelihatan lapar sangat-sangat. Jadi, mereka pesan makanan dan duduk di sebelah meja saya.
Anak pertamanya mula berlari-lari. Ibunya kejar dan letak atas kerusi. Lari lagi, letak atas kerusi lagi. Akhir sekali, kakak itu berputus asa dan terpaksa membiarkan anaknya begitu.
Anak keduanya pula bising nak minta belon dan mula menangis. Anak ketiga pula duduk di atas riba sambil menarik-narik tudung kakak itu. Mesti dia nak menyusu.
Minuman pun sampai, anak pertama tadi terus duduk di kerusi, ambil air dan minum. Sambil minum, sambil bermain dengan straw, habis berterabur air di atas meja. Kakak itu marah anaknya tetapi dalam dengar tak dengar, anak kedua pula merengek nak air yang abangnya minum. Berlakulah adegan rebut merebut then berdebus! Tumpah air satu gelas, berterabur ais dan air di atas meja.
Tuan punya kedai pandang dengan wajah yang tidak puas hati. Akhir sekali, kakak itu lap air tumpah itu sendiri dengan tisu sampai habis.
Tidak lama kemudian, makanan sampai. Anak pertama nak makan sendiri. Dia letak dalam pinggan kecil, makannya tak dihabiskan. Sebaliknya disepah-sepahkan. Anak kedua pula nak bersuap, sambil bersuap, tangannya digapai pula oleh anak yang ketiga. Cubaan menyelak tudung dan tarik menarik baju pun berlaku.
“Mungkin budak itu nak susu agaknya,” fikir saya yang mula faham dengan situasi wanita itu. Paling stress bila anak tiba-tiba nak menyusu di tempat awam.
Sesudahnya, kakak itu tidak menjamah sedikit pun makanan yang dipesan. Anak kedua pula mula menangis, nak meratah ayam sahaja. Bila diberikan ayam, anak yang pertama pula nak ayam. Kedua-duanya mula menangis. Si abang pula mengamuk berguling-guling di atas lantai kedai. Ibunya bangun dari kerusi dan mengangkat si abang. Si adik pula yang berguling-guling.
Kemudian yang bongsu pula menarik baju dan tudung ibunya. Pasti nak menyusu sebab dia asyik meraba-raba dada ibunya yang tidak lama kemudian menangis.
Saya yang melihat keadaan si ibu terasa kasihan. Apakan daya, saya pun ada anak kecil yang tidak reti duduk diam.
Kakak itu cepat-cepat makan, tak sempat nak menyuap anak kedua yang sekali lagi menumpahkan air minuman. Muka ibunya sudah menjadi sangat stress.
Saya faham apa yang dia rasa, serabut dan perasaan malu juga ada juga sebab pernah mengalaminya bila anak saya sendiri buat perangai di tempat awam.
Anak-anak dia pada ketika itu bising dan merengek-rengek. Tuan empunya kedai pun datang dan berkata pada si ibu kepada tiga orang anak itu.
“Kalau dah tahu ada anak yang buas begitu, jangan makan di kedai. Ganggu pelanggan yang lain saja. Habis kotor dan bersepah,” katanya dalam nada pelahan namun saya masih dapat mendengarnya.
“Saya minta maaf, saya tidak sempat masak di rumah hari ini. Pagi tadi pening kepala sampai tak mampu nak bangun. Anak-anak sudah menangis nak makan, jadi saya bawalah pergi makan.
“Nak bungkus, takut lambat pula sebab anak-anak sudah lapar. Sebab balik nanti nak singgah kedai beli barang basah, senang. Alang-alang dah keluar. Kalau keluar dua kali, susah nak bawa anak-anak ini,” jelasnya kepada tuan kedai yang kemudian berlalu pergi dengan muka yang masam mencuka.
Ketiga-tiga anaknya menangis, wajah si ibu nampak sangat-sangat tertekan. Dengan anak-anak yang merengek bising seperti itu, akhirnya si ibu juga turut menangis teresak-esak dan bergenang air mata.
Semua orang yang berada di kedai itu memerhatikan drama tadi. Lalu dia bangun dan pergi membuat pembayaran di kaunter. Air mata memang merembes keluar. Kasihan sangat.
Si ibu berlalu pergi dari kedai bersama dengan tiga orang anaknya itu tanpa sempat menjamah walaupun sebutir nasi.
Semasa berjalan ke kereta, si ibu bukan main seksanya nak mendukung anak bongsu sambil tangannya memimpin anak kedua. Anak sulung pula siap berlari-lari. Kejap duduk kejap bangun, kejap berlari barulah sampai ke kereta.
Aduhai, itulah budak-budak. Dapat pula jenis yang hyperaktif dan anak kecil berusia bawah tiga tahun memang tidak akan faham lagi arahan. Mereka hanya tahu makan dan menangis sahaja.
Tak tahu nak cakap apa tetapi itulah nasib seorang ibu. Kalau tak tertahan, keluar juga air mata. Anak-anak ramai dan dekat-dekat bukan senang nak handle. Itulah orang kata, masa untuk diri sendiri langsung tiada. Kasihan sangat, sedih pun ada. Moga suami kakak itu seorang suami yang baik dan penyayang. Jadi terubatlah kepenatan dan kesusahan.
Sesiapa yang pernah melalui pengalaman seperti ini memang faham sangat bagaimana nak melayan karenah anak-anak. Kalau ada orang lelaki yang masih menganggap isteri hanya duduk goyang kaki di rumah, tak tahulah nak cakap apa. – Nurulbadiah Lai | PIXEL MEDIA