Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang wanita yang dikenali sebagai Siti Nurziswanis tampil memohon maaf secara terbuka berhubung satu hantaran di media sosial miliknya yang dipercayai memaparkan suntingan gambar menghina Perdana Menteri sehingga menimbulkan kritikan di media sosial.
Dalam kenyataan yang dimuat naik,dia menjelaskan tidak mempunyai sebarang niat untuk menyinggung atau memalukan mana-mana pihak, khususnya Perdana Menteri.
“Saya mengakui bahawa tindakan tersebut telah menimbulkan salah faham, dan saya amat kesali atas perkara itu. Saya telah memadamkan posting berkenaan dan akan lebih berhati-hati pada masa akan datang bagi mengelakkan sebarang kejadian serupa,” katanya.
Kakitangan bank itu turut menegaskan bahawa pandangan serta kandungan yang dikongsikan di akaun Facebook peribadinya tidak mewakili majikan tempat beliau bekerja.
“Segala pandangan dan posting yang dibuat adalah daripada akaun peribadi saya sendiri dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan pihak majikan saya,” katanya.
Baca juga:
- Suami maut kemalangan ketika patah balik ambil susu anak
- Dua guru satu kelas mulai sesi 2027, KPM yakin PdP lebih interaktif & atasi keciciran
- ‘Pesakit masuk hospital dehidrasi & jangkitan kuman, bukan sebab bariatrik’ – Dr Gafoor
Sementara itu, RHB Banking Group dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memandang serius perkara berkenaan dan sedang menjalankan siasatan dalaman menyeluruh.
“Kami ingin menegaskan bahawa pandangan yang dinyatakan adalah bersifat peribadi dan tidak mewakili pendirian RHB Banking Group dalam apa jua cara.
“RHB menegakkan standard tertinggi dalam aspek profesionalisme, integriti dan rasa hormat dalam semua urusan kami sama ada di dalam atau di luar tempat kerja. Tindakan tatatertib sewajarnya akan diambil sekiranya didapati berlaku pelanggaran terhadap Kod Etika dan Tatakelakuan Kumpulan,” tambah kenyataan itu.








