Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Kajian terbaru dari Universiti Yale menemui sindrom baharu yang dikaitkan dengan vaksin COVID-19, dikenali sebagai Sindrom Pasca Vaksinasi (Post-Vaccination Syndrome atau PVS). Sindrom ini menyebabkan masalah kesihatan seperti sukar fokus, pening, bunyi berdengung dalam telinga (tinnitus), dan cepat letih selepas melakukan aktiviti ringan.
Penyelidik mendapati mereka yang mengalami sindrom ini mempunyai tahap protein spike SARS-CoV-2 yang tinggi dalam darah, walaupun sudah lama menerima vaksin. Kehadiran protein ini dipercayai menyebabkan keradangan berpanjangan dalam badan yang membawa kepada pelbagai masalah kesihatan. Kajian ini juga menemui virus Epstein-Barr yang tidak aktif menjadi aktif semula dalam badan pesakit, menyebabkan sistem imun mereka terganggu.
Pengalaman pesakit yang terkesan
Lindy Ayers

Lindy Ayers, seorang veteran tentera berusia 31 tahun dari Arkansas, mengalami keletihan melampau, sakit, dan degupan jantung tidak normal selepas mengambil dos kedua vaksin Pfizer pada tahun 2021. Dia menjadi lumpuh dan terpaksa menggunakan kerusi roda.
Pada mulanya, doktor menyangka simptomnya disebabkan oleh Long COVID. Namun, selepas dua tahun dan melalui pelbagai ujian, doktor di Stanford University akhirnya mengesahkan dia mengalami sindrom keletihan kronik akibat kesan sampingan vaksin. Dia juga didapati positif untuk sindrom Epstein-Barr yang aktif semula, seperti yang ditemui dalam kajian Yale.
Walaupun begitu, Lindy menjelaskan dia tidak menentang vaksin tetapi berharap lebih ramai orang memahami kesan sampingan yang mungkin berlaku. Dia berharap lebih banyak penyelidikan dilakukan supaya rawatan yang berkesan dapat ditemui.
Erica Evers


Erica Evers, seorang bekas pekerja pematuhan undang-undang dari Iowa, mengalami masalah penglihatan selepas menerima vaksin Moderna. Pada mulanya, dia merasakan penglihatan kabur di mata kanannya dan tidak dapat melihat objek di hadapannya. Keadaannya bertambah teruk selepas dos kedua, sehingga dia terpaksa mendapatkan rawatan pakar mata.
Doktor mengesahkan Erica mengalami pendarahan pada retina yang memerlukan suntikan bulanan pada mata. Dia juga mengalami tinnitus dan kehilangan pendengaran. Walaupun tidak ada bukti rasmi yang mengaitkan masalah kesihatannya dengan vaksin, Erica berharap kajian Yale ini dapat membuka mata pihak perubatan dan membantunya mendapatkan kepastian mengenai punca sebenar penyakitnya.
Kameron Snowden
Kameron Snowden, seorang juruteknik dari Indiana, turut terkesan selepas menerima vaksin COVID-19 pada tahun 2021. Dia mengalami gangguan pendengaran dan melihat cahaya dengan lebih terang dari biasa. Lebih membimbangkan, dia mula mengalami masalah degupan jantung tidak normal sehingga sukar bergerak dan sering berasa pening.
Kameron menyuarakan kebimbangan tentang kesihatannya yang semakin merosot dan berharap lebih banyak kajian dapat dilakukan untuk mencari punca sebenar simptom yang dialaminya. Dia juga berkongsi bahawa sejak kejadian itu, dia takut untuk ditinggalkan sendirian di rumah kerana risaukan keadaan kesihatannya yang tidak menentu.
Dr. Trevor Keyler

Dr. Trevor Keyler, profesor biologi dari Minnesota yang menyokong vaksinasi, mengalami gegaran teruk dan keletihan selepas menerima vaksin Moderna. Simptom yang dialaminya memaksa beliau mengurangkan waktu bekerja dan menghadkan aktiviti bersama keluarga.
Pada tahun 2022, Dr. Keyler didiagnosis dengan rhabdomyolysis, iaitu keadaan di mana tisu otot pecah dan menyebabkan protein myoglobin merosakkan buah pinggang. Beliau juga mengalami masalah penglihatan akibat katarak yang dipercayai berkaitan dengan kerosakan buah pinggang.
Dr. Keyler meluahkan rasa kecewanya apabila simptom yang dialaminya sering dikaitkan dengan Long COVID, sedangkan beliau yakin ia berpunca daripada vaksin.
Walaupun vaksin COVID-19 diakui menyelamatkan jutaan nyawa di seluruh dunia, penemuan sindrom ini menunjukkan keperluan untuk kajian yang lebih mendalam mengenai kesan sampingan jangka panjang. Pakar berharap penemuan ini akan membuka jalan kepada diagnosis yang lebih tepat dan rawatan yang lebih berkesan bagi mereka yang terjejas oleh Sindrom Pasca Vaksinasi.
Sumber: Daily Mail