Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Seorang bekas jururawat yang bertugas di Hospital Doktor Henrico, Richmond, Virginia, telah didakwa atas tuduhan penderaan bayi di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) hospital tersebut.
Erin Elizabeth Ann Strotman, 39, dari Chesterfield County, berdepan pertuduhan mencederakan bayi dengan sengaja dan pengabaian jenayah terhadap seorang bayi yang berlaku pada 10 November 2024.
Menurut Pendakwa Raya Henrico, Shannon Taylor, pertuduhan melibatkan hukuman maksimum 20 tahun penjara bagi kecederaan jenayah dan 10 tahun untuk pengabaian jenayah. Strotman telah dihadapkan ke mahkamah pada Jumaat lalu, namun belum membuat pengakuan atas tuduhan tersebut.

7 mangsa telah dikenal pasti
Taylor memaklumkan, siasatan masih berlangsung dan setakat ini dan tujuh bayi dari tahun 2023 hingga 2024 telah dikenal pasti sebagai mangsa.
“Kami telah menghubungi keluarga yang terlibat dan menyeru mana-mana keluarga lain yang percaya bayi mereka turut terjejas untuk tampil memberikan maklumat,” katanya.
Kes ini mula disiasat selepas pihak hospital mendapati bayi di NICU mengalami patah tulang tanpa sebab yang jelas. Polis Henrico juga mengesahkan semua kes berkaitan sebelum ini telah dibuka semula untuk siasatan lanjut.
Video CCTV
Sebagai sebahagian daripada siasatan, pihak polis sedang meneliti puluhan rakaman video di NICU dan bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Perkhidmatan Perlindungan Kanak-Kanak, Pejabat Pendakwa Raya, Polis Negeri Virginia, serta Jabatan Kesihatan Virginia.
Ketua Polis Henrico, Eric D. English, meminta orang ramai bersabar menunggu polis menyiasat semua bahan bukti yang ada. Dalam masa sama, beliau turut menolak dakwaan mangsa dipilih berdasarkan identiti kaum.
Sementara itu, Hospital Doktor Henrico memaklumkan bahagian NICU tidak menerima pesakit baharu buat masa ini. Dalam kenyataan pada 3 Januari 2025, mereka menyatakan komitmen untuk membantu siasatan pihak berkuasa.

Bapa kepada seorang bayi yang terjejas, Dominique Hackey, turut bersuara. “Kami mahukan keadilan untuk Noah. Ini bukan kemalangan, dan kami akan pastikan pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan,” katanya. – Agensi